PETALING JAYA: Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics), pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka menjalin kerjasama strategik dengan United Doctors Hospital (UDH) untuk berkolaborasi dalam terapi genomik dan sel.
Di bawah perkongsian selama tiga tahun itu, Malaysian Genomics dan UDH akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menggalakkan dan mempromosi kerjasama dalam penjualan dan pemasaran ujian saringan genetik dan produk terapi sel, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan bidang kerjasama lain dalam terapi genomik dan sel yang akan diputuskan bersama oleh kedua-dua pihak.
Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai berkata, perkongsian strategik dengan UDH membolehkan pihaknya meluaskan jangkauan geografi produk dan perkhidmatan di luar Malaysia ke rantau Asia Barat dan Afrika Utara.
“Ia juga akan membolehkan kami bekerjasama dalam R&D dengan pelbagai pakar domain untuk meningkatkan set ujian saringan genetik dan terapi sel kami,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Doktor Perubatan di UDH, Dr. Hefny Moustafa Hefny berkata, antara bidang yang diteroka oleh Malaysian Genomics dan UDH ialah peluang untuk membangunkan ujian saringan genetik bagi keadaan keturunan dan penyakit yang berleluasa di Asia Barat atau Afrika Utara yang mungkin berbeza daripada bahagian lain di dunia.
UDH yang terletak di Jeddah, Arab Saudi diakreditasi oleh Lembaga Pusat Akreditasi Institusi Penjagaan Kesihatan Arab Saudi.
UDH juga telah memenangi pelbagai anugerah untuk tanggungjawab sosial, termasuk Anugerah Raja Khalid untuk Tanggungjawab Sosial pada 2018 dan diperakui dengan SA8000, program pensijilan sosial terkemuka di dunia, oleh Social Accountability International, sebuah pertubuhan amal yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada 2016.
Malaysian Genomics sedang giat mengembangkan saluran perniagaan kepada penggunanya sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan kumpulan.
Kumpulan baru-baru ini memperoleh 51 peratus kepentingan dalam syarikat pengendali dialisis buah pinggang Aquahealth Sdn. Bhd. untuk menawarkan penjagaan buah pinggang yang diperibadikan dan turut melibatkan pengurusan pemakanan, perubahan gaya hidup dan ujian genetik.
Syarikat turut bekerjasama dengan platform beli-belah dalam talian, ASEAN Super App AirAsia dan Speedoc untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan genetik. – UTUSAN










