ALOR SETAR: Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan pemimpin Kedah seperti baling batu sembunyi tangan apabila menyalahkan orang lain berhubung tragedi kepala air di Baling minggu lalu.
Shaiful Hazizy yang bertugas ketika era pentadbiran Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, perkata itu memang sudah dijangka selepas berlakunya kejadian tersebut.
“Datuk Seri Muhammad Sanusi menyalahkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beliau pula menyalahkan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
“Masing-masing menuduh projek menanam durian besar-besaran Ladang Rakyat yang didakwa sebagai punca banjir teruk di Baling adalah kesan tindakan dan keputusan Menteri Besar daripada parti lain sebelum mereka” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Mukhriz mengenai tanaman durian Musang King di Gunung Inas dibuat ketika pentadbiran Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar.
Menurutnya, dakwaan Mukhriz dan Muhammad Sanusi itu tidak memberi apa-apa kebaikan kepada mangsa yang terlibat.
“Semua ini sekali lagi menjadi petunjuk ketidakmatangan pemimpin Kedah,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, punca tragedi itu mesti dibongkar dan rakyat berhak mengetahuinya dengan lengkap dan telus.
“Selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang disarankan oleh banyak pihak, adalah wajar sekiranya diwujudkan juga sebuah jawatankuasa khas “bipartisan” untuk meneliti secara mendalam punca bencana ini.
“Jawatankuasa ini perlu menggandingkan kedua-dua wakil kerajaan dan pembangkang serta entiti bebas dari luar agar ia lebih berfungsi dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa itu juga mesti turut memberi cadangan kepada kerajaan negeri berhubung penambahbaikan tatacara kelulusan dan prosedur operasi standard (SOP) pembalakan atau apa sahaja projek besar yang mempunyai impak alam sekitar. – UTUSAN











