JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa Pas dan barisan kepemimpinannya bersikap ‘lalang’ dan tidak mempunyai pendirian tetap dalam berpolitik.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pulai berkata, ini kerana kepemimpinan parti tersebut kerap menukar kenyataan mereka dalam tempoh yang singkat.
“Saya pelik dengan perangai pemimpin daripada parti loklaq, Pas yang sebelum ini bila UMNO dan Barisan Nasional (BN) desak Parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan, mereka bermati-matian menolak desakan itu dengan alasan klise, iaitu masanya tak sesuai.
“Tetapi apabila Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kata hendak tuntut kerusi Timbalan Perdana Menteri dan kerusi menteri, terus Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melatah.
“Mula-mula dia cakap tak wujud perjanjian politik antara Bersatu dan Perdana Menteri, tetapi apabila pemimpin Bersatu nyatakan memang ada perjanjian belakang tabir, Abdul Hadi pusing kenyataan pula,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, kenyataan terbaharu Presiden Pas itu menunjukkan beliau mudah menukar pendirian dalam waktu terdekat.
“Terkini, Abdul Hadi kata jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak perlu kerana tempoh PRU15 sudah dekat, nada cakapnya macam Abdul Hadi dan Pas sokong pula PRU15 dipercepatkan.
“Habis mana perginya pendirian Pas yang mahu semua pihak utamakan kebajikan rakyat dan pemulihan negara dan PRU15 diadakan selepas habis penggal. Abdul Hadi dah bawa ke laut ke pendirian Pas itu?” soalnya.
Dakwa Nur Jazlan, Pas sekarang sudah jauh terpesong daripada asas perjuangan mereka yang dahulunya mahu menegakkan Islam, tetapi kini hanya sibuk mengejar habuan.
“Baru saya faham, pendirian Abdul Hadi dan Pas memang macam lalang, sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan, ikut mana yang untung dan rugi untuk mereka.
“Bila Abdul Hadi tahu Bersatu bakal dapat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan tambahan kouta menteri, manakala Pas pula tak dapat apa-apa dan akan berputih mata, terus beliau sentap.
“Lenggok bahasanya macam sudah merajuk, kecil hati dengan Muhyiddin dan Bersatu kot dan mungkin Pas juga ada terasa hati dengan Perdana Menteri. Kalau bab ganjaran, Pas bawah kepemimpinan Abdul Hadi memang laju,” ujarnya. – UTUSAN











