TFC II julang Piala Cabaran - Utusan Malaysia

TFC II julang Piala Cabaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 15 Okt. – Piala Cabaran 2018 yang julung kali menjadi taruhan kini sah milik TFC II apabila menang 2-0 (agregat 4-2) ke atas UKM FC dalam final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam ini.

Kesebelasan anak buah pengendali TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan ternyata tidak mensesiakan peluang beraksi di gelanggang sendiri dengan melakar sejarah merangkul ‘piala baharu’ serta membawa pulang wang tunai RM250,000.

UKM FC pula yang muncul naib juara di bawah kendalian ketua jurulatihnya, Sulaiman Hussin hanya berpuas hati menerima wang tunai RM75,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

TFC II dan UKM FC sebelum ini bertarung dalam final pertama Piala Cabaran 2018 di Stadium Shah Alam pada 8 Oktober lalu yang berkesudahan seri 2-2.

Dua gol TFC II dijarIngkan pemain import dari Nigeria, Akanni Sunday Wasiu pada minit ke -21 dan 53. Kedua-dua gol itu hasil gerakan rakan import, Andrew Anderson.

Seawal babak pertama bermula menyaksikan pasukan tuan rumah mengasak kubu UKM FC dan setiba minit ke-3 TFC II hampir menjaringkan gol menerusi gerakan solo Bruno Szuki namun cubaan itu berjaya dipatahkan benteng lawan.

Pasukan pelawat kemudian bangkit membalas serangan dengan mengasak kubu TFC II melalui tandukan Mohd. Irwan di minit ke 4 disusuli Sein seminit kemudian tetapi cubaan itu melewati sasaran.

Aksi kedua-dua pasukan semakin rancak dengan saling mengasak gawang lawan dan gol tuan rumah hadir di minit ke -21 apabila Akanni Sunday dengan mudah menanduk masuk bola hantaran Andrew Anderson sekali gus meletakkan tuan rumah di depan.

Jaringan itu masih tidak cukup buat TFC II dan Muhamad Hafizal Mohamad melepaskan rembatan leret di minit ke-27 namun berjaya dipatahkan penjaga gol UKM FC, Muhamad Nor Haziq Mohd. Aris dan kedudukan 1-0 sehingga ke tamat separuh masa pertama.

Aksi separuh masa kedua bermula dengan pasukan tuan rumah lebih banyak menguasai perlawanan dan gol kedua hadir di minit ke- 53 menerusi ledakan Akanni Sunday.

TFC II nyaris menambah jaringan pada minit ke -62 namun sepakan Andrew Anderson dari sebelah kiri kotak penalti terkena palang.

Kedudukan TFC II 2- 0 UKM FC kekal ke wisel penamat sebelum kedua-dua pasukan menerima hadiah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini