Pagi semalam sekitar pukul 7.30 pagi, satu pesanan WhatsApp masuk ke telefon bimbit saya. “Kawan-kawan, betul ke ni?” tanya seorang kenalan rapat yang merupakan seorang pegawai perhubungan awam (PRO) yang menghantar paparan skrin Facebook yang menyatakan penyanyi Saleem telah meninggal dunia.
Kaku seketika, pantas tangan penulis membalas, Allah. Sepantas itu juga, khabar duka mengenai kepulangan Saleem ke rahmatullah tersebar di seluruh negara.
Masakan industri hiburan tempatan tidak berduka. Pemergian Saleem telah membawa seluruh bakat dan jasa yang pernah ditaburkan dalam dunia seni terutamanya bidang nyanyian. Meninggal dunia pada usia 57 tahun, banyak yang menyayangi anugerah Tuhan yang ada pada seorang pelaku seni bertaraf legenda itu.
Saleem. Sosok lelaki tidak berapa tinggi dengan fesyen rambut sedikit panjang bersama misai tebal dan gaya ranggi beliau bermain di mata. Tentulah, hal yang paling akan diingati oleh semua orang jika menyebut sepotong nama Saleem adalah vokal emas sengau tetapi lemak merdunya itu. Dalam dunia tarik suara tempatan, belum ada lagi klon Saleem. Suara vokalis kumpulan Iklim itu hanya dimiliki oleh seorang lelaki yang menggunakan nama pentas Saleem. Hanya ada seorang Saleem, penyanyi yang kerap tersenyum setiap kali menyanyi dan gemar menyapa peminat dalam cara rockers dengan loghat Terengganunya yang pekat.
Bagaimanapun, tanggal 14 Oktober 2018, tidak akan ada lagi yang mampu melihat Saleem. Lelaki yang diberi nama A. M. Salim Abdul Majeed itu telah dijemput Ilahi sekitar pukul 6.15 pagi kerana komplikasi kemalangan yang dialaminya sejak 21 September lalu.
Kemalangan yang berlaku sekitar tiga minggu lalu itu menyebabkan Saleem patah beberapa tulang rusuk, sekali gus berada dalam keadaan koma selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Walaupun sempat tersebar tentang berita kematiannya, isteri beliau yang begitu setia, Juriah Bachok menafikan khabar yang disifatkan begitu tidak bertanggungjawab itu.
Kerap memberitahu suaminya tidak berada dalam fasa yang membimbangkan, kunjungan Kosmo! sendiri ke hospital seminggu selepas Saleem dirawat di sana membawa khabar gembira.
Keadaan Saleem stabil, malah beberapa laporan susulan selepas itu juga memberi reaksi positif tentang legenda itu. Situasi itu membuatkan banyak pihak termasuk media dan peminat berasa penyanyi yang cukup hit dengan lagu Suci Dalam Debu itu semakin pulih.
Hakikat yang semua manusia mudah lupa adalah, maut tidak datang terlewat atau awal, namun ia menjemput kita tepat pada waktunya. Itulah berita duka buat seluruh peminat Saleem yang masih terkejut dengan pemergiannya.
Ironi juga, Saleem diberi kebenaran oleh pihak hospital untuk pulang ke rumahnya di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur walaupun kondisi penyanyi itu berada pada tahap membimbangkan.
“Pihak hospital memberi kebenaran buat kami membawa Saleem pulang ke rumah kerana memenuhi hasrat beliau. Beliau mahu menjejakkan kaki ke kediamannya buat kali terakhir jika ditakdirkan meninggal dunia. Alhamdulillah hasrat tersebut tercapai. Kami sekeluarga reda dengan pemergian beliau,” ujar Juriah yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana, usai pengebumian Saleem sekitar pukul 2 petang semalam.
Pengaruh
Memulakan karier nyanyiannya sekitar akhir 1980-an dengan bermain muzik bersama beberapa rakannya di kampungnya di Setiu, Terengganu, keupayaan meletakkan bakat mereka secara komersial telah direalisasikan oleh SCS Record (Suara Cipta Sempurna) yang kini dikenali sebagai Rock Record of Malaysia untuk merakamkan album pertama mereka.
Album itu dinamakan Satu Kesan Abadi. Seperti tepat pada albumnya, Saleem bersama kumpulannya, Iklim mendadak popular. Populariti mereka bukan setakat di Malaysia tetapi kumpulan tersebut menjadi pujaan buat peminat di Singapura serta Indonesia.
Lagu Suci Dalam Debu adalah hit yang meletakkan kumpulan Iklim sebagai kugiran paling laris pada ketika itu. Lagu yang liriknya ditulis oleh S Amin Shahab itu telah mengalahkan lagu yang cukup popular pada waktu itu, Zapin Rindu-Rinduan untuk menakluk carta lagu radio-radio tempatan.
Pengaruh Suci Dalam Debu yang terlalu kuat juga telah membuatkan kumpulan Iklim terbabit dalam sebuah filem yang diangkat daripada judul yang sama. Filem itu dibintangi oleh Julia Rais dan Sidi Oraza.
Bukan sekadar Suci Dalam Debu, bersama Iklim, Saleem telah mencetak ratusan hit lain termasuk Juwita, Sesat Di Kuala Lumpur, Di Pintu Mahligai, Sandiwara Cinta Semusim, Hakikat Sebuah Cinta, Selamat Tinggal Penderitaan dan Blues Terengganu Kita.
Bersama Iklim, Saleem kali terakhir melahirkan album pada tahun 2003 yang diberi judul Bunga Emas. Selaku penyanyi solo, Saleem sempat menghasilkan 13 buah album yang kali terakhir dihasilkan pada tahun 2013 iaitu Cinta Kita Berbeza.
Bapa kepada lima orang anak – Nurluqman Hakim, 30, Nurul Hidayah, 28, Nurfahmie Jufrie, 26, Syafiq Farhain, 24 dan Nurul Azwanie Shuhada, 18, dari hasil perkahwinan pertamanya bersama Juwita dan seorang cahaya mata – Mohd. Amirul Mukminin, 15, bersama Juriah itu juga telah menggondol pelbagai anugerah sepanjang penglibatannya sebagai penyanyi.
Buat seorang anak kampung yang mempunyai impian sederhana menjadi nelayan, riwayat hidup Saleem yang dilambung ombak kehidupan apabila terjerut dalam masalah ketagihan dadah, hakikatnya sering disanjung rakan taulan. Semua khalayak yang mengenali sosok lelaki ini menyifatkan Saleem sebagai seorang manusia budiman.
Rakan-rakan seperjuangan seperti Datuk Hattan menyifatkan Saleem sebagai seorang rakan yang baik dan peramah. Bagi penyanyi Ameng pula, dia mengakui rapat dengan Saleem iaitu sejak zaman remaja lagi.
“Ketika membesar di kampung iaitu di Terengganu, saya sering mengikuti perkembangan karier nyanyiannya.
“Beliau sering menyanyi dalam majlis-majlis keraian secara sukarela dan mungkin disebabkan hal itu, Saleem mampu mengekalkan statusnya sebagai penyanyi profesional untuk jangka masa lama,” ujar Ameng.
Ameng menambah, Saleem merupakan seorang yang sangat pemurah dan prihatin terhadap masalah yang dialami oleh rakan-rakannya.
“Apabila kami ada masalah, beliau pasti akan membantu. Beliau sangat baik dan tidak pernah menganiaya atau menipu kawan-kawan,” ujar Ameng.
Anak lelakinya hasil perkahwinan pertamanya dengan Juwita, Syafiq Farhain yang kini turut bergelar penyanyi berkata, kehilangan bapanya tidak mungkin dapat diganti.
“Kehilangan bapa saya tiada ganti. Saya yakin, karya-karyanya akan terus segar dalam memori peminatnya,” ujar Syafiq.
Buat Saleem, semoga abadi di sana dan sekalung takziah buat seluruh keluarga penyanyi legenda itu yang telah meninggalkan banyak bunga emas dalam hati peminatnya.
Buat pencinta dunia hiburan tempatan khususnya nyanyian, berita penyanyi Saleem meninggal dunia semalam adalah satu lagi babak sedih yang harus ditelan peminat.











