Pengantin tak jadi - Utusan Malaysia

Pengantin tak jadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMUK-redam hati apabila impian untuk hidup bersama lelaki kesayangan hancur berkecai. Mahligai perkahwinan yang selama ini dirancang kemas itu tidak terjadi.

Entah macam mana, cinta pelakon ini terhadap jejaka berasal dari Indonesia tidak kesampaian. Selepas setahun menjalin hubungan, masih tiada apa-apa yang boleh menjamin hubungan berkenaan.

Akhirnya, wanita berusia 28 tahun ini nekad untuk berhenti menanam impian indah itu. Kini tidak ada gunanya lagi kerana lelaki itu sudah tiada lagi dalam kamus hidup Zulin Aziz.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangka dialah lelaki yang ditunggu-tunggu selepas solo tujuh tahun lalu. Lelaki yang mempunyai ciri-ciri bakal imam yang diidam-idamkan, rupa-rupanya tidak.

“Hubungan kami sudah berakhir sejak sebulan lalu. Dah tak ada apa-apa impian yang hendak ditanam. Kena terima hakikat dah tak ada jodoh,” kata Zulin tanpa berselindung.

Punca perpisahan bukan kerana percintaan jarak jauh dengan lelaki bernama Mr. B itu. Ia lebih kepada masalah dalaman yang masih tidak boleh diselesaikan antara mereka berdua.

Rentetan daripada itu, masing-masing berasa tawar hati. Lantas dengan berat hati terpaksa membuat keputusan untuk menamatkan hubungan.

“Saya sudah merancang macam-macam untuk meraikan hubungan ini. Tentang majlis perkahwinan, penajaan pihak luar, belanja buat lagu tema dan rumah kami selepas disatukan,” ujarnya lagi.

Hubungan cinta Zulin dengan lelaki berusia 30 tahun itu terjalin sejak setahun lalu. Bekas penyampai radio Suria FM ini bagaimanapun tidak mendedahkan identiti kekasih atas sebab-sebab tertentu.

Mengikut perancangan asal, pasangan ini bakal diijabkabulkan hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Ini bukan gimik!

Perkongsian yang dibuat di laman sosial baru-baru ini telah mengundang pelbagai reaksi. Ada yang mendakwa konon-kononnya Zulin sengaja membuat gimik perkahwinannya.

Ada juga yang mengecam tindakan wanita ini kerana menjadikan medium tersebut sebagai platform luahan peribadi. Hingga ada yang merasakan Zulin sengaja meraih publisiti murahan.

“Saya tak ada masa nak buat gimik dalam soal yang membabitkan maruah diri. Saya ini perempuan, masih bujang pula itu. Ada hati orang yang perlu dijaga.

“Sebab itu saya meluahkan perasaan itu di laman sosial. Niatnya untuk memberitahu kepada pihak penaja dan umum yang majlis perkahwinan saya tak jadi,” tegas pemilik nama Farah Azleenda Abdul Aziz ini.

Teruskan kehidupan

ENGGAN terlalu memikirkan perkara tersebut, Zulin hanya meneruskan hidupnya seperti biasa. Pelakon filem Bo-Peng ini akan memberi fokus terhadap klip video lagu terbarunya berjudul Dan Ketika Itu.

Lagu ketuhanan yang liriknya ditulis sendiri itu sebenarnya dicipta untuk meraikan hari bahagiannya bersama Mr. B. Bagaimanapun selepas apa yang terjadi, Zulin mengubah semula bait lirik lagu itu.

“Sepatutnya ia adalah lagu kemenangan selepas doa dalam tahajud saya dimakbulkan-Nya. Selepas apa yang terjadi, saya tukar lirik lagu. Doa buat semua orang untuk mencari jodoh yang sesuai.

“Saya juga akan menggunakan segala persiapan perkahwinan yang dipersetujui dengan penaja dalam klip itu nanti,” ujarnya lagi.

Cinta sejati atau love scam?

Ada yang curiga, kononnya cinta awak dengan Mr. B itu hanya love scam. Macam rekaan pun ada juga sebab tak pernah sekalipun berkongsi tentang identiti, kekasih tu, Benarkah?

Tak logik langsung love scam. Dia memang wujud dalam bumi ini. Tiga kali saya ‘terbang’ ke Indonesia bertemu dengan dia. Cuma tak boleh dedahkan tentang peribadi dia, pekerjaannya sangat berprofil tinggi. Kalau saya dedah identiti dia, itu bakal beri risiko. Sebab itu saya menjaga kerahsiaan itu demi dia.

Maknanya Mr. B itu adalah cinta sejati Zulin? Maaflah, nampak macam terdesak saja Zulin ini nak berkahwin?

Betul. Dia memang seorang lelaki yang baik dan mementingkan agama dalam segala urusan. Saya yakin dia mampu membimbing saya. Kalau kita dah jumpa calon sebaik itu, kenapa kita lepaskan begitu saja? Saya yakin dengan dia kerana selepas saya selesai berdoa ditemukan jodoh dalam solat tahajud sebelum ini. Tak timbul soal terdesak. Tidak sama sekali.

Andai ditakdirkan Zulin dan Mr. B berjodoh semula, adakah anda akan terima dia?

Mungkin tidak. Saya sudah trauma dengan apa yang terjadi. Cukup-cukuplah apa yang berlaku. Buat masa sekarang ini, saya hanya perlukan masa untuk memulihkan keadaan. Saya nak membahagiakan diri sendiri terlebih dahulu. Biar masa yang menentukan segala-galanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini