Dendam belum berakhir - Utusan Malaysia

Dendam belum berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA drama bersiri popular Korea, Boys Over Flower sedang rancak disiarkan di stesen televisyen sekitar tahun 2009, dunia hiburan digemparkan dengan kematian salah seorang pelakon cantik drama tersebut yang dikenali sebagai Jang Ja-yeon, 29 tahun.

Jang ditemukan mati menggantung diri di rumahnya ketika episod drama tersebut masih ditayangkan.

Ternyata pemergiannya itu merupakan kehilangan besar bagi industri hiburan Korea Selatan lebih-lebih lagi ketika itu namanya sedang menjadi sebutan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam masa yang sama, saat itu dua buah filem yang dibintanginya berjudul They Are Coming dan Penthouse Elephant juga bakal menemui peminat.

Seakan tidak sabar untuk mengakhiri kehidupannya, dia dikatakan sedang mengalami tekanan perasaan yang tidak terbendung sehingga tidak mampu bersabar lagi. Malah dalam tempoh tersebut juga, Jang masih mendapatkan rawatan daripada pakar psikologi.

Meskipun pihak polis menyimpulkan kematiannya sebagai kes bunuh diri namun pengakhiran hidupnya itu telah membongkar rahsia besar skandal yang melibatkan ramai eksekutif hiburan waktu itu.

Semuanya terbongkar apabila pelakon tersebut meninggalkan bukti akhir iaitu tujuh muka surat tulisannya sebelum membunuh diri.

Dipetik dari Korea Times, dalam surat tersebut, Jang mendakwa dirinya telah dieksploitasi oleh pihak pengurusannya. Malah Ketua Eksekutifnya, Kim Sung-hoon juga merupakan salah seorang yang disebut.

Menurutnya, dia juga dipukul dan dipaksa memuaskan nafsu tokoh-tokoh penting selain golongan media atasan.

Memandangkan dirinya merupakan artis baharu ketika itu dan tidak dapat menyumbangkan keuntungan yang besar kepada syarikat, maka dia dipaksa melakukan hal kotor tersebut.

Malah kelemahan serta kesempitan wang yang dialaminya turut membuatkan dirinya dipergunakan. Sungguhpun telah berkali-kali meminta bantuan daripada pihak pengurusannya namun semuanya tidak berhasil.

Dia turut dipukul dan digesa untuk menahan segala seksaan yang diterima. Kekerasan yang dialaminya itu berlarutan hampir setahun dan seminggu sebelum kematiannya itu.

“Tolong bantu balas dendamku. Tidak ada jalan keluar untukku selain terpaksa melayani mereka. Aku dipaksa melayani nafsu seks 31 orang lelaki dan lebih dari 100 kali.

“Setiap kali diberi baju baru, aku harus bertemu dengan syaitan yang lain pula,” antara bait-bait luahan perasaan Jang Ja Yeon.

Hidup penuh derita

Menyingkap sisi kehidupannya, Jang pernah berdepan dengan peristiwa sedih ketika berusia 19 tahun apabila kedua-dua orang tuanya mati dalam kemalangan jalan raya.

Sejak kematian ibu bapanya, dia tinggal bersama kakak dan adik lelakinya. Bagi menyara kehidupan mereka, bekas pelajar Universiti Gwangju itu terpaksa bekerja keras.

Setelah tamat pengajiannya dalam bidang kewartawanan, dia mula menjadi model sebelum menerima tawaran sebagai pelakon sekitar tahun 2007. Sebelum kematiannya, pelakon tersebut juga pernah meminta bantuan daripada pengurus, Yoo agar menceritakan perkara sebenar kepada keluarganya.

“Aku tidak mahu keluargaku menganggap kematianku hanya disebabkan oleh tekanan perasaan sedangkan ia sebenarnya melibatkan perkara yang lebih buruk daripada itu,” ungkap Yoo menceritakan permintaan pelakon di bawah jagaannya itu.

Pun begitu sebelum memutuskan untuk menggantung diri, dia sempat menelefon kakaknya menceritakan tentang tekanan luar biasa yang dialami serta keinginannya untuk membunuh diri.

Mayat Jang ditemukan dalam keadaan tergantung di tangga rumahnya yang terletak di daerah Bundang, Seongnam pada keesokan hari oleh kakaknya setelah dia gagal dihubungi.

Merasa bertanggungjawab di atas kematian artis di bawah jagaannya, Yoo mendedahkan surat yang mengandungi 31 nama suspek yang terlibat.

Pada tahun 2011, pihak polis turut menemui 50 buah bekas yang mengandungi dokumen setebal 230 halaman yang juga merupakan surat daripada Jang Ja Yeon buat rakan-rakannya.

Setelah mengungkapkan perkara itu, Yoo dikatakan pernah mencuba untuk membunuh diri semata-mata ingin menghindarkan diri daripada ancaman karena menceritakan kebenaran tentang kesengsaraan yang dilalui oleh Jang.

Pun begitu, tertuduh Kim Sung-hoon bagaimanapun turut mendakwa Yoo di atas kesalahan menggunakan data klien untuk mendirikan agensi artisnya sendiri.

Malah menurut Kim, Yoo sengaja melibatkan diri dalam kisah Jang semata-mata ingin menghindarkan diri daripada kesalahan yang dilakukannya.

Akhirnya pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun dan khidmat masyarakat selama 160 jam terhadap kedua-duanya. Walau bagaimanapun kes tersebut ditutup atas alasan tiada bukti yang kukuh.

Pada tahun 2014, pihak mahkamah Seoul memerintahkan agensi pekerjaan Jang untuk memberikan sejumlah wang kepada keluarga mangsa. Seperti yang dipetik dari laporan The Korea Herald, keluarganya menerima wang sekitar RM89,000 sebagai tanda berduka di atas kematian pelakon itu.

Kes dibuka semula

Menurut laman Korea Boo, kini setelah sembilan tahun berlalu, kes yang pernah menjadi tumpuan ini kembali dibuka.

Ia berikutan sebuah petisyen yang telah ditanda tangani lebih 200,000 kali yang mendesak pihak berwajib untuk menyiasat semula kes tersebut. Selain itu, pasukan khas turut dibentuk untuk mengungkap kejadian sebenar.

Bagi mencari bukti adakah pihak agensi pelakon tersebut terlibat sama dalam hal itu, pihak polis telah melakukan penyiasatan dengan lebih terperinci dengan bertindak mengunjungi premis tersebut.

Dalam siasatan itu , mereka menjumpai 200 barang bukti yang dijangka dapat membantu antaranya lima contoh DNA, 12 buah komputer serta kamera rakaman litar tertutup.

Tidak cukup itu, ketika menggeledah lokasi, mereka turut menemui sebuah ruangan rahsia di tingkat tiga yang mengandungi bilik tidur serta bilik mandi. Sementara di tingkat satu pula terdapat ruang yang menyerupai bar untuk golongan kelas atasan.

Selain itu, menurut keterangan individu di sekitar kawasan tersebut, mereka sering melihat kenderaan mewah di kawasan parkir hampir setiap malam.

Malah seorang saksi yang juga merupakan seorang pelakon turut terpanggil untuk berkongsi kisahnya bagi membantu perbicaraan tersebut.

Menurutnya pertama kali dia menyaksikan Jang Ja Yeon diserang secara seksual adalah pada hari lahir Ketua Pegawai Eksekutif mereka.

“Dia menarik Jang dari meja ke pangkuannya dan serentak itu lelaki tersebut mula mengganggunya secara seksual. Itu adalah kali pertama saya melihat ia dengan mata sendiri.

“Saya akan setia memberikan keterangan untuk membantu menuntut keadilan,” ujar saksi tersebut yang turut mengalami masalah yang sama dan pernah menerima rawatan sakit jiwa.

Pada 2013, kisah pilu yang dialami Jang turut diadaptasi menjadi filem berjudul Norigae. Jalan cerita tersebut diilhamkan berdasarkan isi surat yang ditulisnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini