Oktoberfest: Penangan pesta bir, sampai lelaki normal pun rogol lelaki - Utusan Malaysia

Oktoberfest: Penangan pesta bir, sampai lelaki normal pun rogol lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LELAKI rogol lelaki sedangkan perogol tersebut bukanlah seorang homoseksual. Pelik tetapi ini yang berlaku pada 2016 ketika berlangsungnya Oktoberfest di kota asal festival tersebut iaitu Munich, Jerman.

Malah dalam perbicaraan, perogol berkenaan ketika disoal tidak mampu menjelaskan mengapa dia boleh merogol lelaki kerana nafsu seksnya normal.

Cuma apa yang boleh lelaki warga Ukraine itu katakan, dia telah minum lebih enam liter bir sebelum insiden tersebut dan kemudiannya wujud ‘ghairah spontan’. Apatah lagi beer ketika Oktoberfest yang berlangsung dari hujung September hingga pertengahan Oktober dikatakan lebih tinggi kandungan alkoholnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Itu dakwaan lelaki tersebut dan memang pun, arak diketahui mampu menakluki kewarasan akal. Statistiknya, jenayah seksual sepanjang Oktoberfest di Munich meningkat daripada 21 kes pada 2015 kepada 31 kes (2016) mengikut akhbar The Independent UK.

Itu belum dikira jenayah lain, lagi pun sudah banyak kerosakan di atas muka bumi ini akibat masalah alkohol walau pun bukan kerana penganjuran Oktoberfest.

Bagi penyokong festival ini, anda boleh katakan ia kes terpencil berbanding jutaan pelawat yang mengunjungi Munich sepanjang Oktoberfest. Ya, mungkin kecil angkanya, sama seperti terpencilnya asal usul festival berkenaan 200 tahun lalu yang hanya bermula dalam majlis perkahwinan di sebuah istana sebelum melarat ke Malaysia.

Malah jika tidak dikawal, ini mungkin mengundang skala Oktoberfest yang lebih besar saban tahun di negara ini berikutan tarikan ekonomi dan faktor keseronokan tanpa batasan.

Sebab itu di Utah, Amerika Syarikat (AS), negeri yang sebahagian penduduknya penganut Mormon, ajaran melarang meminum arak hampir sahaja menghalang hidangan bir pada Oktoberfest 2014 di sebuah resort ski negeri itu.

Apa sahaja berkaitan tradisi Jerman sama ada makanan, fesyen dan sebagainya boleh diraikan tetapi tidak bir. Resort ski itu juga mungkin hanya satu dua lokasi yang dibenarkan menganjurkan sambutan Oktoberfest di Utah, jauh lebih kecil berbanding lokasi penganjuran festival itu di Malaysia.

Pihak berkuasa Glasgow, kota kewangan global di United Kingdom juga pernah membatalkan lesen penganjuran Oktoberfest. Apakah itu satu bentuk menghalang hak kebebasan beragama penduduknya?

Dalam hal ini, tidak perlu terlalu menekankan hujah agama, tetapi fakta. Rasulullah SAW memang diutuskan untuk rahmatan lil alamain, sebab itu ajaran Islam meliputi tegahan meminum minuman memabukkan dan kebaikannya universal.

Cuma tinggal lagi, kemaskan hujah kenapa festival bir tidak harus bertapak di negara ini atas dasar kesihatan, keselamatan, menjejaskan produktiviti kerja selain mempromosikan amalan buruk serta tiada kaitan dengan tradisi rakyat negara ini.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini