PARIS 14 Okt. – Pasukan kerdil Gibraltar akhirnya melakar kemenangan pertama, hari ini, dalam perlawanan kompetitif selepas ditimpa 22 kekalahan dengan menundukkan Armenia, yang turut menampilkan bintang Arsenal, Henrikh Mkhitaryan, 1-0 pada Liga Negara-Negara Eropah.
Sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten, Roy Chipolina pada minit ke-50 membolehkan Gibraltar mengutip tiga mata penuh di Yerevan.
Kejayaan itu hanya merupakan kemenangan ketiga dari negara kecil tersebut sejak menyertai UEFA setelah mengalahkan Malta dalam aksi persahabatan pada 2014 dan menewaskan Latvia, Mac tahun ini.
Kemenangan yang dicipta mereka, hari ini, selepas kesilapan yang dilakukan penganjur sebelum perlawanan bermula setelah pihak berkuasa tempatan memutarkan lagu kebangsaan Liechtenstein dan bukannya Gibraltar.
“Persatuan Bola Sepak (FA) Armenia memohon maaf kepada Ketua Gelegasi yang mewakili Gibraltar FA di Yerevan di atas kesilapan yang berlaku dan pengumuman permohonan maaf di stadium nasional telah dilakukan ekoran kekhilafan tersebut,” kata Gibraltar FA yang dipetik kenyataan mereka menerusi media sosial, Twitter.
Sejak Gibraltar menyertai UEFA pada 2013, mereka telah ditimpa beberapa siri kekalahan, apabila dibelasah Poland 1-8 dan 0-7 serta dibenam Jerman dan Republik Ireland 0-7 pada kelayakan Euro 2016.
Kekalahan terburuk pasukan itu ialah sewaktu dibelasah 0-9 kepada Belgium dalam kelayakan Piala Dunia pada 2017. – AFP











