SEMPORNA – Dua awak-awak warganegara Filipina ditahan Maritim Malaysia (APMM) Semporna kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan penyu berhampiran perairan Kampung Labuan Haji Pulau Bum-Bum di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi tadi, kedua-dua suspek berusia 52 dan 38 tahun itu ditahan pasukan bot ronda APMM yang sedang menjalankan pemeriksaan di kawasan perairan terbabit.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, ketika menghampiri bot pump berkenaan tersebut kelihatan dua awak-awak disyaki tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot menemui cengkerang dan peralatan dipercayai digunakan untuk memburu penyu bagi aktiviti penyeludupan.
“Justeru, selain kru bot pihak kami turut merampas bot pump yang dianggarakan bernilai RM3,000 dan muatan cengkerang penyu untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Kes disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Pihak APMM Semporna akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibenteras khususnya di perairan Semporna,” jelasnya. – K! ONLINE











