Tubuh bank pada usia 7 tahun - Utusan Malaysia

Tubuh bank pada usia 7 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI kanak-kanak memasang impian untuk menjadi usahawan apabila dewasa kelak, namun seorang kanak-kanak yang berasal dari Peru, Jose Adolfo Quisocala Condori berjaya menjadi usahawan seawal usianya tujuh tahun.

Jose yang kini berusia 13 tahun bergelar usahawan selepas berjaya menubuhkan bank simpanan untuk kanak-kanak enam tahun lalu.

Hari ini, bank yang ditubuhkannya itu mempunyai lebih daripada 2,000 pelanggan dan menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jose mendapat idea untuk menubuhkan bank kanak-kanak berkenaan selepas melihat beberapa rakannya menghabiskan wang mereka dengan membeli gula-gula serta mainan dan bukan menyimpan wang mereka untuk sesuatu yang lebih berfaedah.

Walaupun masih muda, dia memahami bahawa menjimatkan wang dan menggunakan sistem kewangan adalah dua cara orang dewasa seperti ibu bapanya menyelesaikan pelbagai masalah kewangan mereka.

Ekoran itu, Jose memutuskan untuk menubuhkan satu sistem kewangan yang boleh digunakan oleh kanak-kanak sepertinya.

Diejek

Dia mula memikirkan cara bagaimana kanak-kanak boleh menjana wang tanpa dibantu ibu bapa dan mendapati program kitar semula sebagai satu jalan penyelesaian yang sesuai.

Jose kemudian menyuarakan idea penubuhan bank kanak-kanak kepada gurunya, namun telah diberitahu bahawa kanak-kanak berusia tujuh tahun sepertinya tidak boleh mengendalikan projek sebegitu.

Bagaimanapun, kini dia membuktikan bahawa pendapat gurunya itu adalah salah.

“Pada awalnya, guru-guru saya berpendapat kanak-kanak tidak mungkin dapat melaksanakan projek tersebut.

“Mereka tidak memahami bahawa kami tidak hanya bukan masa depan negara sebaliknya juga pada masa kini,” katanya.

Jelas Jose, dia bernasib baik apabila mendapat sokongan daripada pengetua sekolah berkenaan.

“Saya bagaimanapun terpaksa menahan ejekan dan kata-kata buli daripada rakan-rakan sekelas untuk kerja-kerja yang saya lakukan,” katanya.

Jose seterusnya berjaya menubuhkan Bartselana Student Bank di bandar didiaminya di Arequipa pada tahun 2012.

Idea di sebalik institusi kewangan yang bijak itu agak mudah. Kanak-kanak boleh menjadi pelanggan bank dengan mengubah sekurang-kurangnya lima kilogram sisa kitar semula berupa kertas atau plastik.

Sisa kitar semula

Mereka juga dikehendaki menyimpan sekurang-kurangnya satu kilogram sisa kitar semula setiap bulan untuk mengekalkan status keahlian mereka.

Kanak-kanak berkenaan juga perlu menetapkan matlamat jumlah simpanan mereka dan hanya boleh mengeluarkan wang daripada akaun apabila mencapai matlamat simpanan tersebut.

Dia kemudian melakukan perjanjian dengan syarikat kitar semula tempatan yang memberikan harga lebih tinggi terhadap setiap kilogram sisa kitar semula yang diterima daripada bank berkenaan.

Wang hasil jualan berkenaan kemudian didepositkan terus ke dalam akaun mereka.

Untuk memastikan bahawa kanak-kanak terbabit merupakan satu-satunya orang yang mendapat manfaat daripada kerja-kerja yang dilakukan, dia membuat peraturan bahawa tiada seorang pun kecuali pelanggan terbabit sendiri yang boleh membuat pengeluaran termasuk ibu bapa mereka.

Bartselana Student Bank kemudian terus berkembang dan kini mempunyai 2,000 pelanggan yang berusia 10 hingga 18 tahun.

Untuk pencapaian menakjubkan berkenaan, Jose telah menerima beberapa anugerah kehormat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini