'Minuman kultur' RM250 sebotol dirampas - Utusan Malaysia

‘Minuman kultur’ RM250 sebotol dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG 12 Okt. – Selepas taktik membungkus dadah menggunakan peket teh Cina terbongkar, sindiket mengubah modus ope­randi dengan mencampur bahan terlarang itu ke dalam minuman kultur terkenal untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

Dengan mencampur sejumlah ketamin, minuman kultur itu di jual di pusat-pusat hiburan pada harga RM250 sebotol.

Bagaimanapun kegiatan sin­diket itu berjaya dihidu pihak berkuasa dan sembilan serbuan selama dua hari berturut-turut bermula pukul 7.50 malam Rabu hingga 12.15 tengah malam semalam dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Lembah Klang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ber­kata, pihaknya menahan 12 warga tempatan berusia antara 22 hingga 55 tahun termasuk dua wanita dalam serbuan itu.

“Kita juga menemukan 45 botol minuman kultur yang dipercayai telah dicampur dengan dadah jenis ketamin yang berharga RM250 setiap satu dalam satu daripada serbuan tersebut.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3.27 juta manakala rampasan lain termasuk wang tunai, kenderaan dan barang kemas dianggarkan bernilai RM2 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang, di sini hari ini.

Menurut Mohmad, pihaknya percaya dadah yang dirampas adalah untuk pasaran pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan mampu dibekalkan kepada sejumlah 76,000 penagih.

Tambahnya, menerusi operasi itu juga, pihaknya berjaya membongkar dua premis digunakan untuk memproses dan membancuh dadah tersebut.

“Kesemua yang ditahan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Rabu depan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Jenayah Berbahaya 1952,” ujar­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini