MERSING 12 Okt. – Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan di daerah ini dengan merampas sejumlah rokok dan kenderaan bernilai RM9 juta dalam beberapa serbuan di negeri ini kelmarin.
Dalam serbuan itu, seramai tujuh lelaki tempatan dan 16 warga Indonesia berumur antara 24 hingga 46 tahun ditahan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini merupakan rampasan penyeludupan terbesar di Malaysia setakat ini serta melibatkan penahanan ramai suspek iaitu 23 orang.
Menurutnya, dalam serbuan melibatkan sebuah kilang di Felda Tenggaroh 2, Mersing; sebuah rumah kediaman di Taman Johor Jaya, Johor Bahru dan sebuah kilang di Nusajaya, Iskandar Puteri, pihaknya turut merampas 1,332 kotak rokok seludup pelbagai jenama, lima buah lori dan 19 buah kenderaan mewah seperti Vellfire.
“Kita juga menemukan wang tunai bernilai RM9,645 dan empat biji pil erimin 5. Kita anggarkan rokok sahaja bernilai RM6 juta manakala kenderaan yang dirampas bernilai RM3 juta,” kata beliau kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Mersing di sini hari ini.
Acryl Sani memberitahu, sindiket itu yang dipercayai didalangi seorang warga tempatan, telah bergerak aktif selama hampir setahun dan menggunakan kereta mewah sebagai modus operandi untuk memindahkan barang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita percaya mereka mahu mengedarkan kepada pengedar-pengedar kecil di Johor serta sepanjang pantai timur,” katanya.
Ujar Acryl Sani, daripada tujuh suspek warga tempatan, tiga masih direman bermula 10 Oktober sehingga 14 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah manakala empat lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
Tambahnya, 16 lelaki warga Indonesia direman di bawah Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) mulai 11 hingga 24 Oktober ini.– BERNAMA











