Hal terburuk dalam kehidupan adalah apabila seorang manusia tidak dapat membezakan dirinya dikuasai nafsu jahat atau sedang menyemai kebaikan. Atau dalam erti kata lain, keliru.
Hanya ada satu garis halus yang membezakan antara kejahatan hati dan berasa diri mulia. Itulah yang ditonjolkan dalam siri eksklusif baharu Astro, Sembil9n.
Naskhah arahan sutradara yang selalu membikin ‘cantik’ hasil tangannya, Razaisyam Rashid itu bukan sebuah drama 10 episod yang mempersembahkan ‘cerita hantu’ klise. Sebaliknya, ia mengangkat tema kasih dan cinta yang menjadi buruk kerana sikap manusia yang gagal mengawal nafsu jahat dan baik dalam diri. Padahal, secara zahirnya naskhah itu dibikin dengan terlalu banyak adegan yang agak ganas, bersimbah darah dan penuh pemburuan.
Jika melihat ia secara kasar, naskhah usaha sama Malaysia dan Indonesia tersebut boleh menimbulkan banyak salah sangka. Akan ada pandangan yang mengatakan Sembil9n sebuah naskhah hantu, malah kemunculan watak seumpama zombie juga menguatkan teori itu. Jika sedikit rajin menyelam lebih dalam, naskhah yang diproduksi oleh Capitol Entertainment Sdn. Bhd. (CESB) bersama Astro tersebut akan menampilkan isi sebenarnya.
Ia sebuah kisah bagaimana manusia berperang dengan ‘iblis’ yang mendiami hati sendiri. Lebih daripada itu, Sembil9n secara ringkasnya adalah satu perlambangan kasih sayang seorang ibu dan anak yang cukup kuat.
Kisahnya nampak mudah. Ia tentang kisah seorang ibu kehilangan anak dan kemudian anaknya kembali pada saat si ibu sedang menikmati kehidupan baharu. Bagaimanapun plot yang diisi tidak seringkas itu. Kanak-kanak yang diberi nama Taduh itu hilang selama sembilan tahun, tetapi kembali ke pangkuan ibunya, Rimbun, juga pada usia sembilan tahun.
Misteri tersebut akhirnya telah menimbulkan kekacauan di kampung mereka, sekali gus memperlihatkan sisi sebenar seorang manusia.
Untuk merealisasikan naskhah dengan bajet yang menelan belanja jutaan ringgit tersebut, sekali lagi Astro bawah label drama premium menggabungkan kerjasama pelaku seni dari Malaysia dan Indonesia.
Jaguh-jaguh hebat dari Malaysia diketuai oleh sang sutradara iaitu Razaisyam, dikelilingi pemain hebat Beto Kusyairy sebagai Azim, Amerul Affendi (Khairul), Azhan Rani (Aboi) dan Luqman Hafiz (Saduri) yang disandingkan bersama pelaku seni Indonesia diketuai oleh Salman Aristo dan Rino Sarjono sebagai penulis skrip, Yadi Sugandi pada posisi pengarah sinematografi dan barisan pelakon termasuk Atiqah Hasiholan (Rimbun), Bima Azreal (Taduh) dan Endhita (Fitri).
Hakikatnya, bersama mereka, sebanyak lebih 1, 100 orang termasuk tenaga kerja dan barisan pelakon yang terlibat menjayakan naskhah yang berlatar budaya kehidupan di Kalimantan tersebut.
Menjalani penggambaran selama 75 hari di sekitar Kampung Orang Asli Kuala Boh (Cameron Highlands), Sungai Lembing (Pahang), sekitar Kuala Lumpur dan Studio Pinewood Iskandar (Johor Bahru), Sembil9n selesai menjalani penggambarannya sekitar pertengahan September lalu.
Serakah
“Mengarahkan drama ini seperti menghasilkan lima buah filem. Skripnya cukup sukar namun adalah yang terbaik pernah saya baca,” begitu Razaisyam yang mesra disapa Razai mengakui cabaran menterjemahkan Sembil9n dalam bentuk visual.
Akui Razai yang merupakan seorang pengarah muda tetapi perlu mengarah barisan pelakon dengan profil yang besar, kesulitan buatnya adalah bagaimana menterjemahkan skrip yang dihasilkan dengan realistik. Dia perlu mengangkat kisah seram arahannya tersebut masuk dalam kelompok dimensi baharu filem bersifat demikian.
“Kami menjayakan naskhah ini dengan realistik mungkin. Hal yang paling sukar bagi semua kru adalah pertembungan bahasa yang digunakan. Hal ini kerana pelakon Malaysia perlu bercakap dalam lenggok bahasa Kalimantan, begitu juga dengan pelaku seni dari Indonesia yang perlu hadam dialek ini kerana ialah bahasa pertuturan yang digunakan dalam 10 episod naskhah itu,” ujar Razai yang ditemui di lokasi terakhir penggambaran di Johor.
Kekangan dialek dalam pengucapan dialog turut diakui pemain utamanya, Beto. Bagaimanapun, katanya, oleh kerana dia bergandingan bersama seorang aktres hebat seperti Atiqah, kekangan tersebut dapat diatasi dengan baik. Biar pertama kali berpadu bakat, aktor itu mengaku, jalinan kimia di antara dirinya dengan Atiqah senang bersatu.
“Soal pertuturan dialog memang menjadi kekangan semua orang. Saya barangkali sedikit bernasib baik kerana lebih 10 tahun lalu pernah terbabit dalam sebuah naskhah dari Sarawak. Jadi, masih mengingati lenggok dan dialek serta gaya pertuturan masyarakat di sana.
“Sementelah Atiqah sebagai pasangan atau isteri saya dalam naskhah ini, walaupun tidak faham apa yang saya tuturkan, namun dapat menangkapnya menerusi ‘energi’ yang diberikan. Dia memang pelakon sejati,” ujar Beto.
Ditanya apa yang dibanggakan mengenai Sembil9n, Beto memberitahu, ia lebih cenderung tentang penghasilan naskhah berkenaan mengangkat latar budaya marhaen dan konflik dalaman tentang seorang manusia yang tidak mampu menerima kenyataan hidup.
Dia juga bangga kerana terlibat dengan gabungan tenaga produksi yang bukan enteng.
Bertanya soalan klise kepadanya tentang keterujaan bermain dalam naskhah berkenaan, kata Beto, selain fizikalnya tidak pernah senonoh, terdapat satu babak menyaksikan mulutnya dijahit oleh anaknya, Taduh. “Ia satu babak yang cukup mendebarkan, jangan lupa tengok nanti,” pesannya ringkas.
Menyambung bicara panjang tentang pengisian Sembil9n, pemain utamanya, pelakon kanak-kanak yang cukup prolifik di Indonesia, Bima mendefinisikan naskhah ditunjangi dua orang penerbit eksekutif itu iaitu Gion Darwis (CESB) dan Saniboey Mohd. Ismail (Astro) itu sebagai sebuah filem seram berkualiti tersendiri.
“Saya tidak sangka, filem seram ini sangat berat, malah ini pertama kali saya terbabit dengan naskhah seram seberat ini.
“Ia tidak hanya dari segi ekspresi lakonan, bahkan teknik solekan. Lontaran dan penggunaan bahasa juga menjadi satu kekangan namun dapat dilakukan dengan baik kerana kerjasama semua pihak,” ujar pemain karakter Taduh itu.
Sementara itu bagi Atiqah, memainkan peranan seorang ibu yang kehilangan anak serta berdepan ‘peperangan’ dengan jiwa sendiri bukan hal mudah untuk dilaksanakan.
“Sebenarnya sewaktu menerima naskhah ini, saya hanya membaca skrip untuk tiga episod awal. Saya anggap ia tidak ubah seperti drama biasa.
“Bagaimanapun selepas terlibat, ternyata drama siri ini sangat berat. Ia menceritakan tentang keserakahan nafsu seorang manusia,” ujar Atiqah yang berehat selama setahun setengah sebelum ini kerana melahirkan anak.
Bakal ditayangkan pada Februari 2019 menerusi saluran Astro Citra HD, Saniboey menekankan Sembil9n adalah sebuah naskhah original, namun katanya mereka melakukan banyak rujukan untuk menjadikan ia sebuah karya yang bagus.
“Ilham tentang kasih sayangnya mungkin boleh dikatakan diambil daripada naskhah popular Thailand, Nang Nak, unsur seram mungkin ada ilham daripada filem era 1960-an, Rosemary’s Baby dan sebuah filem gelap dari Jerman. Bagaimanapun skrip dan jalan ceritanya adalah original,” kata Saniboey mengenai drama siri yang akan ditayangkan selama sejam setiap episod tersebut.











