KUCHING 12 Okt. – Dua guru dan seorang pembantu kedai menjadi mangsa penipuan Macau Scam terbaharu dengan jumlah kerugian RM8,580 yang diterima polis di negeri ini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa-mangsa tersebut terpedaya dengan modus operandi yang sering digunakan penjenayah seperti mengakui sebagai anggota dan pegawai polis, terlibat dalam pengubahan wang haram, saman dan pinjaman persendirian.
Sehubungan itu, katanya, masyarakat diingatkan agar tidak mudah terpedaya dan jangan membuat sebarang pembayaran melalui akaun peribadi bagi apa sahaja kesalahan jenayah atau sivil yang dilakukan sebaliknya mengikut peruntukan undang-undang dengan ke pejabat atau kaunter.
“Bagi kes pertama, mangsa guru wanita berusia 42 tahun di Kuching kerugian sebanyak RM4,700 kelmarin.
“Dia telah memindahkan wang itu setelah dikatakan terlibat dengan kes pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, bagi kes kedua juga melibatkan seorang guru wanita berusia 26 tahun di Betong pada 17 September lalu.
“Mangsa dikatakan terlibat dengan penyeludupan dadah dan wang haram malah mempunyai sebanyak RM2 juta hasil kegiatan itu.
“Justeru itu, mangsa diarahkan untuk membuat transaksi pemindahan sebanyak RM3,000 sebagai wang ikat jamin,” jelasnya.
Beliau berkata, bagi kes ketiga pula melibatkan seorang pembantu kedai wanita berusia 21 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM880.
“Mangsa dikatakan telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM40,000 dan mempunyai tunggakan berjumlah RM3,795 yang sebenarnya tidak wujud.
“Mangsa menafikannya namun terpedaya setelah disambungkan kepada seorang anggota polis dan seorang wanita yang menyatakan dapat membantu menahan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











