PULAU PINANG 12 Okt. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pengendali laman Facebook Mohsin Abdul Latif untuk mengkaji dan menyemak semula keputusan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon September lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas mendengar permohonan yang dibuat peguam Mohsin, J. Gunamalar serta bantahan awal yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai responden pertama.
Dalam permohonannya, Mohsin atau lebih dikenali dengan gelaran “Mamu Parpu” turut menamakan Guan Eng sebagai responden kedua dan Li Koon responden ketiga.
Berita berkaitan:
Dalam keputusannya, Hakim Datuk Hadhariah berkata, beliau menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam kesemua reponden berkaitan tentang locus standi atau hak bagi Mohsin untuk membuat permohonan itu.
Menurutnya, Mohsin yang merupakan saksi kes rasuah Guan Eng sebelum ini tiada hak untuk membuat rayuan kerana beliau bukanlah pihak yang terlibat dalam prosiding jenayah.
“Saya juga menerima bantahan yang dibuat bahawa Mahkamah Tinggi tiada kuasa untuk membatalkan keputusan yang dibuatnya sendiri,” katanya pada prosiding hari ini.
SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar manakala Ramkarpal Singh dan RSN Rayer mewakili Guan Eng dan Datuk V. Sithambaram mewakili Li Koon. – UTUSAN ONLINE











