PALU 11 Okt. – Indonesia melanjutkan tempoh sehari bagi operasi mencari mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi yang sepatutnya berakhir hari ini atas permintaan ahli keluarga.
Sebanyak 10,000 anggota pasukan penyelamat bertungkus lumus pada hari terakhir bagi mencari ahli keluarga yang hilang dengan harapan dapat melihat wajah mangsa buat kali terakhir dan diberikan pengebumian sempurna.
Bagaimanapun seorang agensi bencana Indonesia memaklumkan, pencarian itu akan diteruskan sehingga petang Jumaat.
Menurut agensi itu, angka kematian penduduk meningkat kepada 2,073 orang namun tidak ada seorang tahu berapa banyak lagi mangsa yang masih hilang di tiga kawasan perumahan yang ranap iaitu Balaroa, Petobo dan Jono Oge.
Menurut agensi pengurusan bencana Indonesia, jumlah penduduk yang hilang dipercayai mencecah 5,000 orang.
Pasukan penyelamat bersama penduduk bekerjasama cuba mengenal pasti kedudukan mangsa namun sejauh mana pergerakan tanah semasa tanah jerlus itu berlaku menyukarkan usaha pencarian.
“Kami harap ahli keluarga faham bahawa harapan terlalu tipis ketika ini,” kata sukarelawan, Hadrianos Poliamar.
Sementara itu, mengulas keputusan kerajaan menghentikan operasi mencari mangsa, sejumlah keluarga mengaku ikhlas dengan pemergian ahli keluarga mereka.
Walaupun tidak mengetahui nasib mereka yang hilang, masih ada penduduk yang meminta pencarian itu diteruskan.
“Menurut saya lebih baik dilanjutkan kerana dalam rumah saya terdapat 18 orang jenazah lagi,” katanya yang dipetik Liputan6.com. – REUTERS/AGENSI











