TAMPA 11 Okt. – Ribut ketiga paling kuat yang dicatatkan dalam sejarah yang melanda tanah besar Amerika Syarikat (AS) menyebabkan kemusnahan besar di barat laut Florida selain beberapa bandar di pesisir pantai tenggelam.
Lapor BBC, taufan Michael melanda petang semalam sebagai ribut kategori empat dengan angin kencang 250 kilometer sejam di Panhandle.
“Dua orang termasuk kanak-kanak terbunuh akibat pokok tumbang,” jelas jurucakap perkhidmatan kecemasan.
Jelasnya, taufan Michael menyebabkan hampir 500,000 penduduk bergelap tanpa bekalan elektrik di Florida, Alabama dan Georgia.
Menurutnya, seorang lelaki maut apabila ditimpa pokok di Gadsden County manakala seorang kanak-kanak terbunuh ketika pokok tumbang di sebuah rumah di Seminole County, Georgia.
Taufan Michael sebelum ini menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh ketika melepasi Amerika Tengah iaitu enam di Honduras, Nicaragua (empat) dan El Salvador (tiga).
Sementara itu, darurat diumumkan di sebahagian besar Florida, Alabama, Georgia dan North Carolina.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) turut meminta penduduk di Tallahassee agar berjaga-jaga dan meninggalkan kediaman masing-ma-sing sebagai langkah keselamatan. – AGENSI











