TOKYO 11 Okt. – Hingar bingar acara lelongan tuna menjelang fajar menyinsing mula kendengaran buat pertama kalinya di pasar ikan baharu di Toyusu, hanya beberapa hari selepas pasar terkenal di Tsukiji ditutup setelah 83 tahun beroperasi.
Walaupun lokasi pasar bertukar tetapi rutin tetap sama, ikan tuna besar sejuk beku diletakkan di atas lantai.
Seterusnya loceng dibunyikan bagi menandakan lelongan bermula dan sistem membida harga hanya difahami oleh mereka yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.
“Kami tidak menang bidaan hari ini. Kami tidak berjaya mendapatkan harga yang sama hari ini,” menurut Kiyoshi Kimura, seorang selebriti dalam dunia sushi dan pemilik rangkaian Zanmai Sushi yang pernah memegang rekod pembayar harga tuna paling tinggi pada lelongan tahun baharu.
Perpindahan ke pasar baharu adalah proses yang sukar dan kontroversi.
Terdapat segelintir yang tidak dapat menerima hakikat kerana pasar Tsukiji adalah sesuatu yang berharga, namun wujud kebimbangan mengenai peraturan kebakaran dan kawalan kebersihan yang sudah ketinggalan zaman.
Sebaliknya, pasar baharu itu, terletak beberapa kilometer ke timur di Toyosu, mempunyai kemudahan penyejukan yang tercanggih dan hampir dua kali lebih besar berbanding pasar Tsukiji, sekali gus menjadi pasar ikan terbesar di dunia.
Tetapi pasar baharu terletak di tapak bekas loji gas dan tanahnya didapati tercemar, memaksa pihak berkuasa tempatan membelanjakan berjuta-juta dolar untuk membersihkannya dan melambatkan perpindahan.
Sebelum Tsukiji menutup operasi untuk kali terakhir, beberapa ratus penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi cuba menghalang perpindahan berkenaan di mahkamah, dengan alasan Toyosu tidak selamat. – AFP











