GUA MUSANG 11 Okt. – Seramai 120 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gua Musang di sini menyertai program kesedaran dan ilmu pencegahan jenayah dalam kalangan warga sekolah di sini, hari ini.
Ceramah itu telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis daerah, Asisten Suprintenden Che Yob Pin.
Yang turut hadir, Pegawai Perhubungan Sekolah, Inspektor Abd. Aziz Mat Resof, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Chan See Keong dan guru besarnya, Law Yin Sim.
Sementara itu, Che Yob berkata, semua pihak perlu bekerjasama untuk membendung masalah jenayah terutama melibatkan golongan murid atau pelajar sekolah.
Beliau berkata, perbuatan salah laku seperti merosakkan harta benda sekolah, membuli, bergaduh, mencuri dan memeras ugut perlu dilihat secara serius oleh semua pihak.
“Gejala tersebut boleh memberi impak negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani secara serius dan berkesan di peringkat awal.
“Kita berharap warga sekolah terus melaporkan kepada pihak polis sekiranya mengesan kegiatan jenayah di sekolah,” katanya ketika memberi ceramah dalam Program Pencegahan Jenayah di Dewan Aktiviti SJKC Gua Musang di sini, hari ini.
Sementara itu, See Keong berkata, para murid perlu didedahkan dengan aspek pencegahan jenayah agar lebih berwaspada dan tidak menjadi mangsa.
“Kami amat menghargai hubungan erat dengan polis dalam mendidik masyarakat termasuklah murid dan warga sekolah.
“Kita melihat jenayah dalam kalangan remaja semakin membimbangkan disebabkan faktor sosial seperti kepincangan keluarga, pengaruh rakan sebaya dan pengaruh internet,” katanya.











