KETUA Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe (gambar kecil) berharap pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dapat beraksi dengan baik kerana dikhuatiri dia berdepan tekanan kerana ramai yang akan tertumpu kepada persembahannya dalam aksi persahabatan antarabangsa bertemu Sri Lanka di Stadium Sugathadasa, Colombo malam ini.

Aksi persahabatan itu merupakan persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) Suzuki 2018 bermula 8 November hingga 15 Disember yang mana Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.
“Memang kita harap Sumareh dapat bermain dengan baik kerana mungkin dia akan berasa tertekan kerana harapan peminat terhadapnya terlalu tinggi ketika ini.
“Bukan mudah untuk berdepan situasi itu ketika berada di atas padang, namun saya berharap dia dapat menguruskannya dengan baik ketika berdepan Sri Lanka nanti.
“Saya lihat dia masih mengalami keletihan selepas baru selesai aksi separuh akhir Piala Malaysia dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya berharap Sumareh akan kembali cergas seperti sedia kala dalam masa terdekat dan pada masa sama, pasukan juga telah menunjukkan beberapa petanda positif,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Colombo Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.
Pada masa sama, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan akan menambah bilangan pemain naturalisasi pada masa hadapan sekiranya terdapat pemain yang bagus selepas ini.
Cheng Hoe mengambil keputusan dengan menyenaraikan Nik Akif Syahiran Nik Mat dari Kelantan untuk melengkapkan senarai 22 pemain dibawa ke Colombo selepas bekas pengendali Kedah itu menggugurkan tiga pemain yang cedera iaitu Rawilson Batuil, Nor Hakim Hassan dan Akram Mahinan.
“Saya harap semua pemain kali ini dapat mencari satu kombinasi terbaik kerana kita agak ketandusan untuk mencari gol buat masa ini.
“Kami masih cari keserasian meskipun jika dilihat dari segi ranking pihak lawan, mereka tidak begitu baik tetapi saya tetap menganggap ia bukan satu perkara yang mudah,” katanya.











