Intan Ladyana dekati cendekiawan - Utusan Malaysia

Intan Ladyana dekati cendekiawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi aspirasi kejayaan institusi pengajian tinggi tempatan dan memperkenalkan para cendekiawan, tenaga intelek serta penghasilan kerja mereka dalam bentuk kajian, penyelidikan dan eksperimentasi menerusi sebuah program terbaharu bertajuk PHD Hebat Dinamik.

INTAN LADYANA bertindak sebagai pengacara dalam program PHD Hebat Dinamik.
INTAN LADYANA bertindak sebagai pengacara dalam program PHD Hebat Dinamik.

Menerusi program 13 episod yang disiarkan bermula 3 Oktober lalu, PHD Hebat Dinamik menampilkan aktres Intan Ladyana sebagai hos.

Intan dalam episod pengenalannya membawakan beberapa tokoh pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sedang membuat penyelidikan dan percubaan mengenai teknik-teknik berkaitan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Tujuan kajian itu adalah untuk melahirkan tenaga guru atau pendidik yang mahir dan berpengetahuan. Antara kaedah baharu yang sedang dilaksanakan ialah ePortfolio dan Eufolia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seterusnya, Intan menemu bual beberapa orang profesor dari Fakulti Perhutanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang sedang mengkaji bahan-bahan baharu yang boleh dijadikan sebagai sumber alternatif bagi pembuatan kertas seperti daripada buluh dan batang kepala sawit.

Intan juga berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meninjau usaha kajian komposisi genetik sesuatu tumbuhan bagi mempelbagaikan sifat kehidupannya. Dia turut menemu bual beberapa pakar dari Institut Bioloji Sistem, Pusat Analisis dan Teknoloji Genetik UKM mengenai usaha dan pencapaian mereka dalam bidang itu sehingga sekarang.

Terdapat juga episod lawatan ke kampus Sungai Buloh, Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk meninjau inovasi dan pembaharuan yang telah dilakukan oleh beberapa doktor pakar wanita di Fakulti Perubatan. Dua orang doktor dan penyelidik telah berjaya menggunakan robotik bagi merawat dan memulihkan pesakit kurang upaya khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Perkongsian ketika melawat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor turut menyaksikan kemajuan dalam bidang robotik.

Di UTM, Skudai, sepasukan penganalisis mencipta robot bagi melakukan kerja harian di rumah seperti memotong rumput.

Selain itu, robot yang boleh bergerak bawah air juga dibina dan digunakan dengan jayanya untuk menjalankan kajian di Antartika.

Pembangunan

Pada masa sama, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pula mengetengahkan program penyelidikan dan pembangunan mengenai sagu yang dijalankan di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber.

Penonton diterangkan bagaimana ekstrak daripada pokok sagu diproses untuk dijadikan gula sellabiosa yang kaya dengan elemen probiotik dan anti-mikrob.

Lawatan ke Universiti Teknikal Malaysia di Melaka berjaya meninjau beberapa projek penyelidikan oleh pakar dan pelajar di Fakulti Kejuruteraan.

Temu bual dilakukan bersama Profesor Ir. Dr. Sivarao Subramonian yang menerajui penyelidikan dan pembangunan tiga sistem yang akan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. Sistem-sistem ini ialah hasil gabungan tenaga dan sumber beberapa jabatan di universiti ini.

Kembara PHD Hebat Dinamik turut berada di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi meninjau program penyelidikan dan pembangunan marin dan akuakultur yang dijalankan di Institut Penyelidikan Marin dan Akuakultur. Antara projek yang dipaparkan ialah penternakan timun laut yang berkualiti, akuafonik yang mengabungkan penternakan ikan dan tumbuh-tumbuhan, peningkatan mutu spesies ikan belut melalui suntikan hormon, teknik menternak ketam dan ikan kacukan.

Hasil perkongsian lawatan ke Universiti Malaysia Terengganu kemudiannya membawa penonton ke Institut Penyelidikan Kenyir. Antara kajian yang dijalankan di institut berkenaan adalah berhubung pengukuran pencemaran air Tasik Kenyir menggunakan cacing yang terdapat dalam perut ikan dan penyelidikan mengenai belangkas. Selain itu, satu projek pemetaan dalam air menggunakan bunyi juga sedang dilakukan.

Program yang bersiaran setiap Rabu dan Khamis, pukul 12.30 tengah hari di TV1 tersebut juga melawat kampus Universiti Kuala Lumpur. Fokus terhadap Institute of Chemical Bio-Engineering Technology.

Di situ terdapat penyelidikan dalam kejuruteraan kimia seperti menggunakan teknologi nano untuk mengurangkan kadar pencemaran air dan mengkaji ekstrak daun cekus bagi tujuan perubatan.

Akhirnya sekali, Intan sekali lagi terbang ke UMS bagi meninjau usaha dinamik beberapa orang cendekiawan di situ dalam beberapa bidang penyelidikan. Antara yang ditemui ialah Profesor Ir. Dr. Rosalam yang menggunakan teknologi nano bagi membersihkan pencemaran air laut khususnya oleh tumpahan minyak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini