LELAKI berusia separuh abad itu menjalankan hampir 10 operasi pembedahan pada setiap hari.
Beliau juga menghabiskan masa berjam-jam berdiri dan memeriksa pesakit yang luka terkena peluru atau menghidap malaria.
Evan Atar Adaha, 52, sentiasa menjadi orang pertama yang masuk ke dewan bedah dan menolak katil pembedahan yang berat ke tempatnya.
Beliau juga boleh ditemui di wad neonatal bagi melihat keadaan bayi yang baru lahir.
Bukan itu sahaja, rakan sekerja beliau pernah melihat Adaha berkaki ayam di atas meja pembedahan pada waktu tengah malam untuk membetulkan lampu sambil menyanyi.
“Kami berada di sini untuk menyelamatkan nyawa, bukan duduk sahaja.
“Tidak ada yang bermalasan di dalam dewan bedah. Kami semua sama. Kami adalah satu pasukan,” kata Adaha.
Adaha adalah satu-satunya pakar bedah di Hospital Referral Maban yang terletak di bandar Bunj, tenggara negeri Upper Nile, Sudan Selatan, demikian menurut laman web Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR).
Hospital yang memiliki 120 buah katil dan dua dewan bedah itu berada lebih 600 kilometer dari ibu kota Sudan, Juba.
Ia juga adalah satu-satunya hospital yang mempunyai kemudahan dewan pembedahan di Upper Nile dan memiliki seksyen neonatal serta wad tuberkulosis yang mempunyai 20 buah katil.
Dibuka 24 jam sehari, hospital di Bunj merawat lebih 200,000 penduduk.
Adaha yang sudah menyumbang masa dan tenaga selama dua dekad bagi merawat pesakit begitu terkenal sehingga ramai yang merujuk hospital berkenaan sebagai Hospital Dr. Adaha dan pesakit sanggup menempuh perjalanan selama beberapa hari supaya mereka boleh mendapatkan rawatan daripada beliau.
Pilihan terakhir
“Kami adalah pilihan terakhir. Hospital ini ibarat kedai sehenti.
“Tiada lagi hospital boleh dirujuk selepas kami. Tiada lagi pakar yang lebih tinggi,” kata Dr. Kalisa Yesero Wabibye, seorang doktor dari Uganda yang telah bekerja di hospital tersebut selama lebih daripada dua tahun.
Adaha dan kakitangannya bekerja dalam persekitaran yang sukar serta berbahaya.
Sudan Selatan menghadapi masalah kemudahan asas dan pekerja kesihatan yang mahir, malah ubat-ubatan serta peralatan juga masih kurang.
Apabila Sudan Selatan memperoleh kemerdekaan pada tahun 2011, negara tersebut hanya mempunyai kira-kira 120 orang doktor dan 100 jururawat untuk berkhidmat kepada penduduk yang berjumlah 12 juta orang.
Sejak perang saudara meletus pada bulan Disember 2013, lebih daripada empat juta orang mengalami masalah penjagaan kesihatan.
Suatu ketika dahulu, kemudahan perubatan disekat dan kakitangan ditahan, diculik serta dibunuh manakala ambulans pula ditembak dan dicuri.
Sejak tahun 2013 juga, seramai 103 pekerja kemanusiaan telah dibunuh.
Keadaan di daerah Maban tidak menentu dan keganasan semakin kerap berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Selepas pejabat dan organisasi antarabangsa termasuk UNCHR diserang pada bulan Julai tahun ini, Adaha masih lagi bekerja di hospitalnya walaupun ditinggalkan anggota pasukan perubatannya.
“Kami merawat semua orang di sini tanpa mengira siapa mereka,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak dalam konflik itu seolah-olah memahami bahawa mereka juga mendapat manfaat daripada penjagaan kesihatan yang baik.
Dengan keperibadiannya yang optimis dan suka ketawa, beliau tetap berdedikasi untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada individu yang paling memerlukan.
Anak kelahiran Torit di selatan Sudan Selatan itu menerima biasiswa untuk mempelajari ilmu kedoktoran di Khartoum, Sudan sebelum melanjutkan pelajaran di Mesir.
Pada tahun 1997, beliau berpindah ke Kurmuk, Blue Nile Sudan yang terlibat dengan konflik selama 12 tahun dan sering berdepan serangan bom.
Pembedahan pertama
Di situ, beliau mengendalikan sebuah hospital asas yang merawat orang awam yang cedera serta pejuang daripada kedua-dua belah pihak.
“Ketika saya tiba, satu-satunya kemudahan yang tinggal adalah meja pembedahan.
“Kami menggunakan benang biasa untuk menjahit luka dan kayu hutan bagi mengalirkan darah,” imbau Adaha.
Katanya, barangan paling berharga yang dimilikinya adalah satu set amputasi dan kit sterilisasi kecil yang diberikan oleh seorang doktor Perancis.
Pada tahun 2011, berlaku pengeboman yang menyebabkan berpuluh-puluh penduduk melarikan diri ke Daerah Maban di Sudan Selatan.
Pada tahun tersebut juga Adaha melakukan pembedahan pertama menggunakan pintu yang disusun menjadi meja pembedahan.
Hari ini, selain dihuni oleh 53,000 orang penduduk, kawasan sekitar Bunj menempatkan 142,000 pelarian dari Blue Nile dan kawasan Kordofan Selatan yang tinggal di empat kem.
Apabila pertempuran semakin bertambah di sempadan, UNHCR menjangkakan tambahan 12,000 pelarian lagi pada tahun ini.
Sepanjang menjalankan tugas, beliau suka mengusik kanak-kanak, pernah berbincang tentang perancangan keluarga bersama seorang ibu yang selamat daripada melahirkan anak melalui kaedah pembedahan dan memberi dorongan kepada seorang lelaki yang kehilangan lengan kiri serta kaki kanan agar belajar untuk berjalan dengan menggunakan tongkat tunggal.
Bagi lelaki beragama Kristian yang fasih berbahasa Arab iaitu bahasa utama wilayah tersebut, sumber utama kebahagiaan bukan hanya berjaya melakukan pembedahan tetapi mempunyai hubungan baik dengan para pesakit.
Anugerah
Adaha mengakui bahawa kerjaya pilihannya itu sukar untuk diterima oleh isteri dan empat orang anaknya.
Beliau hanya menjenguk keluarga yang tinggal di Nairobi tiga kali setahun, namun akan berusaha untuk terus menghubungi mereka menerusi WhatsApp serta e-mel beberapa kali seminggu.
Adaha tidak percaya dia melakukan suatu yang luar biasa.
Beliau diumumkan sebagai pemenang anugerah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini kerana merawat puluhan ribu orang yang terpaksa melarikan diri daripada keganasan.
Menurut PBB, Adaha dipilih sebagai penerima Anugerah Pelarian Nensen 2018 kerana sifat kemanusiaan dan tidak mementingkan diri yang menyaksikan beliau kerap menggadai nyawa membantu individu lain.
“Saya berasa amat rendah diri. Saya harap anugerah ini akan dapat menarik perhatian terhadap penderitaan terutamanya di Afrika yang sering dilupakan.
Anda mungkin mendengar dan membaca tentang mereka tetapi hanya apabila anda menemui mereka baharulah anda sedar betapa mereka memerlukan bantuan,” kata Adaha dalam satu wawancara bersama Thomson Reuters Foundation baru-baru ini.
Penerima Anugerah Pelarian Nensen diiktiraf oleh UNCHR kerana menyumbang masa mereka membantu golongan tersebut.
Individu yang pernah menerima anugerah tersebut termasuk bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Eleanor Roosevelt dan penyanyi soprano, Luciana Paarotti.











