ALOR SETAR – Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor tidak dapat menahan sebak selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada empat pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukannya sejak tiga tahun lalu.
Hakim Azman Abu Hassan membuat keputusan itu ke atas tertuduh, Mohd. Adnan Md. Daud, 55, setelah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.
Mohd. Adnan ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan lega apabila dibebaskan daripada semua pertuduhan tersebut.
“Saya anggap apa yang terpaksa saya hadapi selama hampir dua tahun termasuk turun naik mahkamah adalah ujian Allah dan akhirnya kebenaran itu telah tiba pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar kamar mahkamah.
Bagi kes rasuah, tertuduh yang ketika itu merupakan Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S48 dan bertugas sebagai Pengarah Kemas Selangor didakwa memperoleh suapan RM68,343.47 daripada Sah Hizam Halim di Maybank Cawangan Alor Setar di sini pada 14 Disember 2016.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan RM86,053.45 daripada individu sama di Maybank Cawangan Alor Setar pada 7 Januari 2015.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd. Adnan dituduh menggunakan transaksi atas talian Maybank memindahkan wang sebanyak RM120,000 dari akaun simpanan ke akaun semasa Maybank miliknya dengan RM86,053.45 diperoleh daripada hasil aktiviti haram pada 8 Januari 2015.
Tertuduh juga didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu cek Maybank bernilai RM100,000 bagi tujuan pembayaran deposit sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada 8 Januari 2015. – K! ONLINE











