PORT DICKSON – UMNO Bahagian Port Dickson tidak melarang ahlinya daripada memilih dan mengundi mana-mana calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.
Ketuanya, Mohd. Faizal Ramli berkata, UMNO Bahagian Port Dickson malah menyeru semua ahli UMNO dan orang Melayu di Port Dickson supaya keluar mengundi pada Sabtu ini kerana undi mereka adalah penting.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) Port Dickson tidak menghalang mana-mana pengundi berdaftar keluar mengundi dan boleh memilih serta mengundi calon yang mereka suka.
“Saya menyeru dan memohon sokongan kepada semua orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO di Parlimen Port Dickson untuk menjalankan tanggungjawab sebagai warga Malaysia bersama-sama keluar mengundi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Faizal berkata, beliau yakin dan percaya orang Melayu khususnya ahli UMNO akan membuat pilihan yang tepat demi agama, bangsa dan negara dalam PRK Parlimen Port Dickson kali ini.
PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Pas dan lima calon Bebas.
PH diwakili Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, manakala calon Pas ialah Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazri Mokhtar, 57.
Sementara dua calon Bebas terdiri daripada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, 69, dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 33.
UMNO membuat keputusan memboikot PRK Port Dickson kerana berpendirian kerusi Parlimen itu dikosongkan semata-mata untuk memenuhi cita-cita politik Anwar menjadi Perdana Menteri.
Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). – K! ONLINE











