Hoki: Skuad remaja negara hampiri peringkat suku akhir - Utusan Malaysia

Hoki: Skuad remaja negara hampiri peringkat suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Skuad hoki negara semakin hampir untuk ke peringkat suku akhir temasya Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina selepas membelasah Zambia 7-2 dalam perlawanan ketiga Kumpulan A pada Selasa (awal pagi Rabu waktu Malaysia).

Ini merupakan kemenangan ketiga Malaysia yang sebelum ini membenam Vanuatu 14-0 dan menewaskan Mexico 4-2.

Dalam pertemuan awal pagi tadi, pasukan negara Afrika itu mendahului skuad negara pada minit ke-2 menerusi gol padang Dominic Mulenga namun Malaysia pantas bangkit menyamakan kedudukan seminit kemudian melalui gol padang Noor Firdaus Rosdi, demikian menurut Persekutuan Hoki Malaysia menerusi laman Facebook mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seminit kemudian, Mulenga sekali lagi membolosi gawang gol Malaysia namun kelebihan itu gagal dipertahankan Zambia apabila Malaysia membuat serangan bertalu-talu yang menghasilkan enam gol dalam tempoh 14 minit.

Pemain negara Mohamad Akhimullah Anuar Esook terus menjadi perhatian selepas menjaringkan empat gol masing-masing pada minit ke-5, -10, -12 dan -19 manakala dua lagi gol Malaysia dijaringkan oleh Muhamad Amirul Hamizan Azahar dan Syarman Mat Tee, masing-masing pada minit ke-9 dan ke-12.

Malaysia akan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang pasukan tuan rumah Argentina awal pagi esok waktu Malaysia.

Untuk rekod, Malaysia tidak layak pada dua edisi terdahulu iaitu 2010 di Singapura dan 2014 di China.

Sementara itu, pemain badminton perseorangan wanita negara Goh Jin Wei mara ke peringkat suku akhir selepas muncul juara Kumpulan C.

Jin Wei yang sudah meraih dua kemenangan, menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menewaskan wakil Jerman, Anne Spoeri 21-7, 18-21 dan 21-9 pada perlawanan ketiganya.- BERNAMA

 

 

 

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini