PORT DICKSON – Tiga pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat; Dewan Serbaguna, Kem Segenting Port Dickson dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini, ditutup tepat 5.30 petang ini.
Pegawai Pengurus PRK Parlimen Port Dickson Khairy Maamor berkata sebanyak 63 peratus iaitu 4,564 daripada 7,191 pengundi awal daripada kalangan anggota tentera dan pasangan serta anggota polis telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Ini menjadikan peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal PRK berkenaan merosot sebanyak 30 peratus berbanding 90 peratus yang dicapai kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.
Proses pengundian awal yang bermula 8 pagi tadi turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain kalangan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Peti-peti undi bagi pengundian awal itu disimpan di lokap IPD Port Dickson dan hanya akan dikira di pusat penjumlahan undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu ini.
Tiga pusat pengundian itu membabitkan 13 saluran dengan 10 dibuka sehingga 5.30 petang sementara bakinya sebanyak tiga saluran di IPD Port Dickson iaitu Khemah A, B dan C ditutup pada 12 tengah hari kerana jumlah pengundi yang kecil.
PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas PRU14.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas.
PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan Anwar yang mewakili Pakatan Harapan (PH), calon PAS, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Parlimen itu mempunyai 75,770 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan kaum-kaum lain (dua peratus).
Seramai 68,486 orang pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini. – Bernama











