SHAH ALAM – Dua buah unit baharu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) akan diwujudkan di dua buah Balai Bomba dan Penyelamat di Selangor selewat-selewatnya awal tahun depan.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman berkata, unit baharu itu akan diwujudkan di Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Selayang bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan PPDA kepada masyarakat.
Katanya, setakat ini hanya terdapat dua buah balai sahaja yang mempunyai anggota PPDA iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Shah Alam dengan keanggotaan 41 orang selepas enam anggota terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Taman Perdana Puchong sebelum ini.
“PPDA amat penting dalam SAR di sungai dan laut dan kita merancang menubuhkan dua lagi unit di dua balai baharu di KLIA dan Selayang.
“Kita masih menyusun semula jumlah keanggotaan PPDA di empat balai tersebut namun berkemungkinan terdiri daripada dua buah pasukan di sesebuah balai,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat negeri di Bukit Jelutong hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menerima sumbangan RM30,000 untuk waris enam anggota PPDA yang terkorban dalam SAR sebelum ini daripada produksi filem Paskal yang disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia Entertainment Sdn.Bhd., Datuk Steven Lim.
Turut menyampaikan sumbangan adalah Persatuan Mendaki dan Berkhemah Malaysia yang diwakili Presidennya, Mohd. Abdul Rahman bernilai RM2,000.
Menurut Azmi, seorang anggota PPDA akan dipilih menerusi sesi pemilihan yang ketat dalam menguji tahap kesihatan, kemampuan fizikal dan kemahiran berenang mereka.
“Kesemua anggota PPDA juga perlu menghabiskan masa 10 jam setiap bulan dalam mengikuti kursus bagi meningkatkan kemahiran terutama dalam menyelam.
“Justeru, sebarang andaian menyatakan anggota PPDA tidak mahir adalah tidak berasas,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan bahawa tragedi menyayat hati yang mengorbankan enam anggota PPDA tidak mematahkan semangat anggota lain di unit tersebut untuk terus berkhidmat kepada masyarakat. – K! ONLINE











