KUALA LUMPUR 9 Okt. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menghubungi mana-mana pihak menerusi panggilan telefon, e-mel atau apa-apa medium media sosial untuk mendapatkan butiran peribadi dan sulit bagi tujuan menjalankan siasatan.
Menurut kenyataannya, suruhanjaya tersebut menerima banyak aduan daripada orang awam yang terpedaya dengan panggilan dan permohonan palsu tersebut sejak kebelakangan ini.
“Sehubungan itu, orang ramai yang menerima panggilan meragukan dinasihatkan agar terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada mana-mana pejabat SPRM terdekat menerusi talian 1-800-88-6000 dan alamat yang dipaparkan di portal rasmi www.sprm.gov.my,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, SPRM juga berharap orang ramai lebih peka serta berkongsi maklumat ini bersama masyarakat sekeliling. – UTUSAN ONLINE











