PETALING JAYA – Seorang pengarah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang milik syarikatnya yang berjumlah RM5,350,874.97, empat tahun lalu.
Bagaimanapun, Yee Wee Kiong, 45, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Wee Kiong sebagai pengarah syarikat MEACS Construction Sdn. Bhd. telah diamanahkan dengan harta iaitu 57 keping cek bernilai RM5,350,874.97 telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan harta tersebut.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Bank, cawangan Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini antara 31 Mac 2014 dan 29 Mac 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy’ari Kamaruzaman menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.
Bagaimanapun, bapa tiga anak yang diwakili peguam Vivek Sukumaran memohon jaminan yang lebih rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga selain isteri yang tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, lapor diri di balai polis berdekatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh 21 November depan ditetapkan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE











