SLIM RIVER – Seorang pelajar wanita di sebuah institut pengajian tinggi maut selepas kenderaan pelbagai guna ( MPV) yang dipandunya terbabas di Kilometer 375.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.25 malam itu, mangsa yang berusia 20 dan berasal dari Shah Alam, Selangor meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sewaktu kejadian, mangsa memandu MPV jenis Toyota Innova bersama rakannya sedang dalam perjalanan dari Seri Iskandar ke Kampung Melayu Subang Tambahan di Shah Alam.
Jelasnya, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai telah terbabas sendiri dan berpusing sebelum berhenti secara melintang di lorong tengah lebuh raya.
“Ketika itu, sebuah kereta jenis Mercedes Benz dan MPV jenis Proton Exora yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak kemalangan itu telah merempuh kenderaan mangsa.
“Insiden itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian manakala rakannya cedera parah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Menurut Wan Kamarul Azran, kedua-kedua pemandu kenderaan yang merempuh mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River dekat sini untuk dibedah siasat manakala rakannya dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. – K! ONLINE











