PORT DICKSON 9 Okt. – Sebanyak 60 permit ceramah telah dikeluarkan polis sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson setakat ini.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, sebanyak 32 permit diluluskan bagi ceramah calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 19 ceramah calon Bebas, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan sembilan bagi calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar.
Beliau memberitahu, keadaan kempen adalah terkawal dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
“Dalam tempoh itu sebanyak tiga kes dibuka dan yang terbaharu melibatkan laporan dibuat seorang calon Bebas dan disiasat di bawah Seksyen 10(a) Akta Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” katanya semasa meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini, hari ini.
Seramai 577 pegawai dan anggota polis dijadualkan mengundi di IPD Port Dickson yang melibatkan lima saluran mengundi.
Sementara itu, Mohd. Faisal berkata, pihak polis akan menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas sepanjang tempoh kempen dan hari pengundian pada 13 Oktober ini.
“Kali ini ada pusat mengundi yang terletak betul-betul bersebelahan jalan utama dan kami akan mengambil tindakan proaktif. Sebuah trak tunda telah disediakan bagi tujuan itu.
“Kalau pemilik mendapati kereta tidak ada di tempat yang diletakkan sebelum ini, boleh datang ke IPD untuk mengambil kenderaan dan akan dikenakan saman RM300,” katanya. – UTUSAN ONLINE











