KUALA LUMPUR 8 Okt. – Selangor dijangka menjadi negeri yang mempunyai bilangan warga emas paling ramai di negara ini berikutan peningkatan populasi golongan berkenaan pada setiap tahun.
Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Heric Corray berkata, ramalan itu adalah berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyatakan jumlah warga emas di Malaysia pada 2014 dianggarkan berjumlah 2.54 juta.
“Jumlah itu mewakili 8.6 peratus daripada keseluruhan rakyat negara ini dengan peningkatan setiap tahun,’’ katanya.
Herric berkata demikian ketika melancarkan sambutan Hari Warga Emas Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Kompleks Pakar dan Rawatan Harian hospital itu di sini hari ini.
Sambutan itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pembelaan hak dan kebajikan golongan warga emas dalam masyarakat selain memperkukuhkan hak mereka.
“Berikutan pertambahan golongan ini pada masa hadapan, orang ramai perlu bersedia dengan ilmu dan maklumat yang cukup untuk berhadapan dengan komplikasi kesihatan mereka,’’ katanya.
–UTUSAN ONLINE.











