Polis rampas dadah bernilai RM2.5 juta - Utusan Malaysia

Polis rampas dadah bernilai RM2.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU 6 Okt. – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Kontinjen Sabah (IPK) bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah berjaya merampas syabu seberat 51.9 kilogram bernilai RM2.5 juta, Rabu lalu.

Rampasan itu dilakukan menerusi satu serbuan di hadapan sebuah kedai di Bandar Sri Perdana di sini yang dipercayai menjadi markas sindiket pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an turut ditahan kerana dipercayai ahli sindiket berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ditahan, suspek sedang membawa turun sebuah beg besar dari tempat duduk belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg tersebut telah menjumpai 25 bungkusan plastik berwarna kuning keemasan bercetak tulisan ‘Daguanyin’ dan di dalamnya berisi ketulan hablur jernih yang dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Nasri menambah, hasil siasatan lanjut turut menemukan sebuah lagi beg yang berada di bahagian tempat duduk belakang kenderaan terbabit dan berjaya menjumpai 25 lagi bungkusan plastik yang mengandungi bahan sama.

“Suspek kini ditahan dan semua barangan rampasan termasuk seutas jam tangan jenama Rolex dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini