PAPAR – Seorang pemandu lori yang membawa muatan barangan pembinaan terbunuh apabila tercampak keluar dari kenderaan dipandunya selepas dipercayai hilang kawalan di Kilometer 42 Jalan Kimanis-Keningau di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.19 malam tersebut, mangsa yang dikenali sebagai Ho Sing Luk berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi dan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Batholomew Umpit berkata, sebelum kejadian lelaki terbabit memandu bersendirian dari arah Pekan Sook menghala ke Kota Kinabalu.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian disyaki brek lori tersebut mengalami masalah sehingga menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbalik beberapa kali.
“Akibatnya, mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan maut di lokasi akibat parah pada bahagian kepala,” katanya hari ini.
Tambah Batholomew, mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Papar dekat sini untuk tindakan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










