KUALA TERENGGANU 5 Okt. – Hampir kesemua cabang PKR di negeri ini menyokong Rafizi Ramli sebagai bakal Timbalan Presiden PKR berbanding penyandang sekarang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ini diperakui oleh Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail yang baharu sahaja mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu dalam pemilihan cabang itu hari ini.
Menurut Azan, bagi cabang Kuala Terengganu, keputusan muktamad dengan memilih Rafizi yang memperoleh 178 undi berbanding Mohamed Azmin dengan 120 undi.
Beliau seterusnya berpendapat, `kemenangan’ Rafizi itu adalah berdasarkan kelebihan Naib Presiden PKR itu yang merupakan anak watan Terengganu.
“Bagi cabang PKR Kuala Terengganu ini, Rafizi t mengaut 178 undi manakala Azmin memperoleh 120 undi.
“Boleh dikatakan rata-rata menyokong Rafizi di cabang-cabang lain di Terengganu dan sokongan itu kerana beliau (Rafizi) adalah anak Terengganu,” katanya.
Azan menyatakan perkara itu kepada pemberita sejurus tamat proses pengundian dalam pemilihan cabang PKR Kuala Terengganu di Dewan Seri Budi di Jalan Sultan Omar di sini lewat petang ini.
Ditanya mengenai keputusan penuh pertandingan di semua peringkat di cabang-cabang, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sebelum dimuktamadkan.
Sehingga pukul 8.15 malam ini belum ada sebarang keputusan rasmi dikeluarkan. – UTUSAN ONLINE











