KUALA LUMPUR 5 Okt. – Seorang pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 0.8 gram, Ahad lalu.
Mohd. Nizam Abdul Razak, 37, didakwa memiliki dadah tersebut di Jalan Wangsa 5A, Taman Bukit Antarabangsa dekat sini kira-kira pukul 3.30 pagi, 30 September lalu.
Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin sementara Mohd. Nizam yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan dia perlu menanggung ahli keluarga.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 November ini untuk sebutan kes.
Isteri Mohd. Nizam menjelaskan jaminan tersebut. – UTUSAN ONLINE











