Wartawan sertai misi kemanusiaan di Sulawesi rasai gegaran susulan - Utusan Malaysia

Wartawan sertai misi kemanusiaan di Sulawesi rasai gegaran susulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA PALU (Sulawesi) – Keinginan pengamal media yang menyertai Kumpulan Misi Bantuan Kemanusian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyelami perasaan masyarakat tempatan dan merasai sendiri keadaan ketika gempa bumi hari ini menjadi kenyataan.

Rasa gerun dan kebimbangan jelas menguasai diri apabila bandar yang terkenal dengan keindahan pantai, terus mengalami gegaran susulan setiap hari dalam tempoh yang pendek.

Bagi wartawan TV Al- Hijrah, Serieffa Mushtafa Albakry, 36, berkata terdapat dua gegaran selama 10 saat berlaku dalam tempoh satu jam, tetapi ia cukup memberi gambaran akan perasaan masyarakat setempat pada hari pertama kejadian gempa itu berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejadian berlaku pada pukul 1 dan 2.10 pagi.. Ketika itu, kami (kumpulan wartawan) sedang berkumpul dengan bersandar di dinding bangunan sekolah agama yang kami jadikan tempat berteduh, untuk menyiapkan tugasan liputan di sini.

“Secara tiba- tiba, dinding bangunan itu seolah-olah menolak kami dengan kuat dari belakang menyebabkan kebanyakan kami lari ke tempat lapang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Petugas media berkenaan mengikuti Misi Bantuan Kemanusian Mapim, yang merupakan pasukan pertama Malaysia menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Kota Palu, Jumaat lepas.

Seorang mangsa bencana meminta bantuan dari sesiapa sahaja yang melalui jalan menghala ke Kota Palu
Seorang mangsa bencana meminta bantuan dari sesiapa sahaja yang melalui jalan menghala ke Kota Palu. Suasana Kota Palu memperlihatkan banyak sisa bangunan yang masih belum dibersihkan akibat bencana tsunami dan gempa bumi bermagnitud 7.5 skala Richer pada Jumaat lepas. – Foto Bernama

Sementara itu, wartawan NSTP, Shahir Othman, 32, berkata debaran 10 saat itu cukup membuktikan bahawa masyarakat di Sulawesi Tengah ini cukup tabah dalam berdepan situasi getir seperti itu.

“Pelbagai perasaan bermain di fikiran ketika itu, antaranya, jika kami merasa 10 saat itu sudah cukup lama, bagaimana pula penduduk di sini (Kota Palu) yang dikatakan merasa gegaran sehingga tiga minit pada hari kejadian.

“Mereka sememangnya antara masyarakat yang tabah dalam berdepan ujian Allah,” katanya.
Turut menyertai misi itu adalah 15 sukarelawan termasuk dua petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan masyarakat tempatan telah lali dengan gempa susulan berkenaan, bagaimanapun tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,517 orang setakat 6 petang, semalam. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini