PORT DICKSON 5 Okt. – Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Kan Chee Yuen menganggarkan hanya 5 peratus sahaja peluang untuk beliau menang.
Walaupun tahu peluang tipis, beliau yang pertama kali melibatkan diri di dalam politik tetap mahu mengambil peluang itu.
“Saya sudah buat perkiraan, kalau kalah, saya masih boleh bangkit dan hidup, jadi ia tidak menjadi masalah,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya di sini hari ini.
Oleh itu beliau tidak menerima sebarang bentuk bantuan atau tajaan kerana tidak mahu terhutang budi dan menjadi beban untuk membalas budi apabila menang atau lebih buruk bila kalah.
“Saya ada menerima sumbangan daripada kenalan dan orang yang tidak saya kenali, tetap saya batalkan cek berkenaan dan jadikannya sebagai cenderahati kenangan sahaja,” jelasnya
Chee Yuen yang merupakan seorang perunding latihan, berkata, dia mahu mengetengah kuasa ketiga iaitu rakyat yang tidak disokong parti tetapi mengambil bahagian di dalam pilihan raya, demi membawa aspirasi rakyat. Walaupun kalah kelak, beliau berkata, tetap bersedia berkhidmat kepada masyarakat di sini termasuk menawarkan diri sebagai ahli majlis di bahagian pembangunan yang bersesuaian dengan kemahirannya. – Utusan Online











