MUKADIMAH: Calon Bebas, LAU SECK YAN, 51, merupakan wakil tunggal kaum wanita yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Beliau menganggap faktor kurang terkenal sebagai satu kekurangan dalam menjayakan hasratnya membawa suara rakyat di kawasan berkenaan ke Parlimen.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, AIDA FAIZLEN IBRAHIM di Port Dickson semalam dengan ibu kepada empat orang anak yang memilih arnab sebagai simbol untuk dipaparkan dalam kertas undi nanti.

UTUSAN: Puan tidak dikenali sebelum ini. Bagaimana mahu meyakinkan pengundi untuk memilih puan dan bukannya calon-calon lebih popular seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad?
LAU SECK YAN: Meskipun saya tidak dikenali umum seperti kedua-dua calon itu, saya mempunyai hati yang ikhlas untuk membantu rakyat memfokuskan kembali hala tuju negara yang kini bercelaru.
Saya yakin pengundi kini lebih bijak. Mereka bukan memilih berdasarkan populariti tetapi kredibiliti untuk memimpin. Rakyat perlukan muka-muka baharu untuk memastikan hala tuju Malaysia.
UTUSAN: Sebagai satu-satunya calon wanita, apa strategi puan untuk berdepan dengan enam calon lain yang semuanya lelaki?
Saya akan mendengar luahan hati rakyat melalui pendekatan individu, berdepan dan bukan sekadar menghantar wakil. Saya tidak mahu menjanjikan bulan bintang kepada rakyat seperti kebanyakan calon lain lakukan tetapi selepas mendapat mandat, rakyat tertipu. Cukuplah kalau saya diberi kepercayaan untuk membawa suara dan permasalahan rakyat Port Dickson ke Parlimen.
UTUSAN: Apa yang puan ingin tawarkan kepada pengundi?
Tidak lain tidak bukan adalah perkhidmatan. Saya akan pastikan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum akan merasai kesan daripada kepimpinan saya yang progresif dan harmoni. Saya akan bawa suara penduduk ke Parlimen sebaik mungkin. Itulah azam saya.
UTUSAN: Pada pandangan puan, adakah pengundi Cina kini hilang keyakinan terhadap kerajaan sedia ada?
Itu terpulang kepada masyarakat untuk menilai sendiri kebaikan dan kelemahan kerajaan pada masa ini. Tetapi mungkin juga mereka hilang kepercayaan kerana banyak isu dan manifesto yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak tertunai. Rakyat kini bijak menilai.
UTUSAN: Puan dilahirkan di Seremban dan bekerja sebagai pensyarah universiti swasta di Kuala Lumpur. Tiada kaitan dengan Port Dickson. Tidakkah faktor itu boleh menjejaskan peluang puan untuk menang?
Itu tidaklah menjadi masalah kerana saya mampu membahagikan masa demi masyarakat di Port Dickson. Tidak mungkin saya sia-siakan sekiranya mereka memilih saya. Soal masa, jarak dan tenaga bukanlah satu masalah besar dan sememangnya cabaran yang ada pada semua pemimpin dalam perjuangan mereka.











