BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 5 OKTOBER 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 5 OKTOBER 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG sedih dan simpati dengan tragedi enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang terkorban ketika usaha menyelamat sedang dilakukan. Mereka adalah wira yang sanggup menghadapi pelbagai risiko ketika menjalankan tugas yang diamanahkan.

Rakyat Malaysia sudah tentu berkongsi kesedihan dengan keluarga yang terlibat. Terimalah ini sebagai qada dan qadar walaupun akan ada yang berkata, tragedi ini dapat dielakkan. Pelbagai pandangan diberi termasuk menangguhkan operasi.

Difahamkan, mereka telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bagaimanapun beberapa faktor luar jangka menyumbang kepada tragedi itu. Justeru, SOP yang ada perlu diperkemaskan bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang pada masa depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Siasatan perlu dijalankan untuk melihat pelbagai kelemahan jika ada. Tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak. Dalam isu sebegini akan timbul pandangan yang berbeza sehingga timbul keputusan yang serba tidak kena dan meletakkan situasi serba salah sebelum bertindak.

Berikutan tragedi ini, Awang ingin mengulangi gesaan supaya orang ramai tidak dengan sengaja mengundang bencana lebih-lebih lagi ketika musim peralihan monsun ini. Difahamkan kawasan tragedi adalah bekas lombong yang tidak sesuai untuk aktiviti rekreasi.

Awang dimaklumkan, sebelum ini, beberapa kes lemas dilaporkan di kawasan tadahan hujan itu. Pihak berkuasa harus lebih bertanggungjawab memantau atau menutup kawasan seumpama ini supaya tidak diceroboh. Cukuplah pelbagai tragedi di lombong atau kolam terbiar selama ini.

AWANG – Takziah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini