Rangka kerja nilai impak kewangan Islam diperlukan - Utusan Malaysia

Rangka kerja nilai impak kewangan Islam diperlukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Satu rangka kerja untuk menilai impak kewangan Islam terhadap ekonomi perlu menjadi agenda seterusnya dalam membentuk pembangunan sektor berkenaan, kata bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

ZETI AZIZ

Beliau berkata, cadangan kewangan masa depan itu mestilah berdasarkan penambahan nilai dan berasaskan nilai, di mana penambahan nilai akan mencerminkan sumbangan dalam memudah dan menyokong aktiviti ekonomi, manakala berasaskan nilai dapat dilihat dalam bagaimana ia memberi manfaat kepada masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Impak utama kewangan Islam terhadap ekonomi adalah kurang jelas, oleh itu bentuk penambahan nilai dan nilai kewangan yang berasaskan nilai memberi maksud kepada pe­ranan kewangan untuk membawa faedah kepada ekonomi dan masyarakat,” katanya ketika memyampaikan Syarahan Kewangan Islam Anugerah Diraja di sini hari ini.

Syarahan itu diadakan sempena Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2018 selama dua hari.

Zeti juga berkata, penilaian terhadap ketahanan sistem kewangan Islam dan unsur-unsur yang menyokong daya tahan sedemikian perlu dijalankan berdasarkan rekod prestasi sektor berkenaan.

Mewakili 12 bidang kuasa, aset perbankan Islam terdiri lebih daripada 15 peratus daripada jumlah aset perbankan pada 2017 manakala aset perbankan Islam global mence­cah AS$1.5 (RM6.22) trilion dan sukuk global melonjak kepada AS$400 bilion (RM1.6 trilion) dalam tempoh yang sama.

Beliau juga menyatakan kesan krisis kewangan ke atas institusi perbankan Islam adalah sangat kurang berbanding perbankan konvensional.

“Membandingkan 10 bank Islam teratas dengan 10 bank konvensional teratas semasa krisis kewangan 2008 hingga 2009, ia menunjukkan bahawa gabungan permodalan pasaran bank Islam mengalami penurunan sebanyak 8.5 peratus dan ia jauh lebih kecil daripada bank konvensional yang merosot 42.8 peratus dari Disember 2006 hingga Disember 2009,” jelasnya.

Menurutnya, keuntungan bersih agregat bank Islam meningkat sembilan peratus bagi tempoh yang sama, manakala keuntungan bersih bank konvensional jatuh sebanyak 64 peratus.

Mengulas mengenai pengharmonian rangka kerja syariah dan saling menghormati dalam penerapan tafsiran dan ketetapan syariah, yang telah dipergiat, Zeti berkata, Mesyu­arat Meja Bulat Pihak Berkuasa Penasihat Syariah, yang diumumkan BNM dua hari lalu, akan menyediakan platform untuk menyelaras rangka kerja tersebut untuk resolusi syariah di semua bidang kuasa.

“Beberapa bidang kuasa kini telah menubuhkan entiti syariah pusat yang akan memperkukuh rangkaian strategik untuk penglibatan dan memupuk pemahaman mengenai tafsiran syariah di kalangan pihak berkuasa syariah berpusat,” katanya.

Kewangan Islam kini dipraktik di lebih 50 negara dan jumlah asetnya pada 2017 dianggarkan melebihi AS$2 (RM8.29) trilion. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini