SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang tekong darat yang menjadi dalang bagi sindiket penyeludupan imigran dalam kejadian di Pulau Pintu Gedung, Klang pada 18 Februari tahun lalu.
Tertuduh terdahulu telah ditahan pada 23 Februari tahun yang sama di Jalan Taiping, Klang Utara oleh Pegawai Maritim (APMM) Negeri Selangor.
Timbalan Pendakwa Raya APMM, Jabatan Perdana Menteri, Syahriah Shapiee berkata, pihaknya turut memohon daripada mahkamah untuk mengenakan hukuman yang berat kepada tertuduh atas faktor tertentu.
“Bagi pihak pendakwaan, kami memohon satu hukuman yang berat setelah mengambil kira faktor kepentingan awam dan keselamatan negara.
“Tertuduh didapati bersalah pada tarikh ditahan kerana mengaut keuntungan daripada kesalahan penyeludupan imigran iaitu dua orang warganegara Indonesia masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 44 tahun.
“Atas kesalahan itu, tertuduh telah dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan telah didapati bersalah di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zulkifli Abu Bakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, sehingga kini terdapat 24 kes berkaitan ATIPSOM telah direkodkan APMM sepanjang tahun 2016 sehingga tahun ini. – K! ONLINE











