TAWAU – Jenazah anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mazlan Omarbaki, 25, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Payung di sini hari ini.
Jenazah dikebumikan pada pukul 7.30 malam selepas disembahyangkan di rumah keluarganya di Kampung Tinagat di sini.
Lebih 100 orang hadir ke tanah perkuburan tersebut termasuk anggota bomba, penduduk kampung serta Angota Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman.
Jenazah Mazlan tiba di Lapangan Terbang Tawau pada pukul 5.40 petang sebelum dibawa ke rumah keluarganya bagi solat jenazah.
Sementara itu, Ma’mun ketika ditemui merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Saya mewakili kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) bersimpati dengan kehilangan arwah yang berjiwa besar dan rela berkorban demi menyelamatkan orang lain,” katanya.
Mazlan adalah antara enam anggota PPDA yang maut semasa operasi mencari seorang remaja yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik bekas lombong di Puchong, Selangor malam semalam. – Bernama











