KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta pihak pendakwa raya mengemukakan dokumen sebenar dalam mana-mana prosiding melibatkan anak guamnya.
Muhammad Shafee, yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi tujuh pertuduhan jenayah melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM4.2 juta telah diberikan dokumen dalam format cakera padat (CD) dan bukan dokumen sebenar atau sewajarnya oleh pihak pendakwaan.
“Jumlah dokumen itu tidak dapat diperjelaskan tetapi satu per tiga daripada dokumen dalam CD itu mempunyai kecacatan dan tidak boleh dibaca,” kata beliau pada sidang akhbar selepas sebutan kes Najib di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Muhammad Shafee juga mahu ahli perniagaan yang dikehendaki oleh pihak beruasa, Low Teak Jho atau Jho Low keluar dari tempat persembunyian untuk memberi keterangan dalam kes ke atas anak guamnya.
Muhammad Shafee secara tegas berkata beliau ingin benar jika dapat memeriksa balas Jho Low semasa prosiding. – Bernama











