SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memperbetulkan perintah Mahkamah Majistret Petaling Jaya berkaitan keputusan kebenaran menggali semula kubur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd.,Nazrin Hassan.
Perintah tersebut dilakukan mengikut budi bicara hakim menerusi Seksyen 325 Kanun Prosedur Jenayah.
Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman dalam hujah penghakiman memberitahu, Seksyen 339(3) Kanun Prosedur Jenayah dalam keputusan awal yang digunakan bagi kebenaran tersebut adalah tidak sepatutnya kerana ia hanya berkaitan prosedur permohonan inkues.
Katanya, permohonan inkues tidak boleh dijalankan selagi hasil laporan siasatan tidak diserahkan kepada Majistret.
“Justeru, saya memperbetulkan perintah itu kepada Seksyen 329(3) kanun sama bagi memberikan kuasa penuh kepada polis melakukan siasatan mengetahui punca kematian berhubung proses menggali semula kubur (Nazrin) itu,”katanya.
Terdahulu, Peguam Hisyam Teh Poh Teik dan L.S. Leonard yang mewakili isteri Nazrin, Samirah Muzzafar, 43, telah mengemukakan permohonan semakan semula perintah menggali kubur Nazrin.
Majistret Nor Ariffin Hisham dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober lalu membenarkan kubur CEO Cradle Fund itu digali semula bagi membolehkan proses autopsi dijalankan terhadap jenazah Allahyarham Nazrin buat kali kedua yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara di sini.
Ab. Karim turut menjelaskan bahawa mahkamah menetapkan empat syarat yang telah dipersetujui bersama antara pihak pendakwaan dan pemohon bagi proses menggali semula kubur tersebut.
“Ini termasuk seorang wakil pemohon dan agamawan dibenarkan hadir semasa proses menggali dan pengebumian semula jenazah (Nazrin).
“Pakar patologi bebas dibenarkan hadir bedah siasat sekiranya mendapat kebenaran atau kelulusan daripada patologi yang dilantik bagi proses bedah siasat kedua.
“Selain itu, pemohon iaitu Samirah boleh hadir proses bedah siasat itu,” katanya.
Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin menegaskan bahawa permohonan semakan semula itu adalah pramatang kerana menimbulkan soal inkues sebaliknya apa yang berlaku kini merupakan peringkat siasatan bagi mengetahui punca kematian.
“Pihak pemohon juga sedar bahawa siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menyokong (pihak polis) bagi mendapatkan hasil siasatan kematian (Nazrin),” katanya.
Kes membabitkan Nazrin, 48, menarik perhatian umum apabila pada mulanya kematian CEO Cradle Fund itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat kebakaran berpunca daripada telefon dicaj meletup ketika mangsa sedang tidur.
Bagaimanapun, hampir sebulan selepas itu, polis membuka kertas siasatan berhubung kematian Nazrin di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. – K! ONLINE











