SERDANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu penubuhan Majlis Media Malaysia yang diperjuang warga media sejak 1974 dipercepatkan, kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.
Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun tidak akan bertindak menubuhkan majlis itu sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada warga media untuk mengusahakan penubuhannya.
“Saya gembira kerana pengarang media tradisional, elektronik dan dalam talian telah mula mengadakan perbincangan dan forum bagi menubuhkan majlis itu.
“Saya juga telah bercakap dengan pihak berkenaan, mencadangkan proses penubuhan itu dipercepatkan, malah proses itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Menjunjung Kebebasan Media: Azam Kerajaan Baharu sempena Forum Media Kebangsaan 2018-Merealisasikan Kebebasan Media Era Pakatan Harapan anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini hari ini. – Bernama











