KUALA LUMPUR – Doktor kerajaan dibenar untuk mengambil cuti tanpa rekod sekiranya mereka ingin ke Sulawesi Tengah bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di situ, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.
“Kita memberikan izin kepada semua doktor kita sama ada yang berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan atau Kementerian Pendidikan (doktor di hospital universiti) untuk mengambil cuti tanpa rekod bagi berkhidmat dan berbakti di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Kementerian Kesihatan dan Collaborative Research in Engineering, Science and Tenchnology (CREST) di sini hari ini.
Dzulkefly bagaimanapun tidak menyatakan jumlah doktor kerajaan yang telah berlepas ke sana setakat ini.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia semalam, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,407 orang. – Bernama











