IPOH 29 Sept. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Reformis Muda Perak mengecam tindakan pihak tertentu yang menggunakan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai ikon dalam mempromosikan penganjuran sesuatu festival atau acara.
Presidennya, Roslan Ali berkata, tindakan menggunakan golongan itu terutama dalam kalangan selebriti popular dikhuatiri akan memberi kesan buruk terutama kepada generasi muda.
Katanya, bantahan tersebut bukanlah bermaksud pihaknya menghalang sebarang penganjuran program keusahawan di negeri ini tetapi hanya melibatkan penglibatan golongan itu sebagai ikon produk atau program.
“Kami bukan membantah program keusahawanan malah menyokong sebarang usaha untuk membantu peniaga-peniaga terutama orang Melayu.
“Bantahan hari ini hanya melibatkan ikon. Kami tidak berminat dengan ikon LGBT dan menolak sekeras-kerasnya. Kami tidak mahu benda-benda macam ini menjadi malapetaka kepada negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat demonstarasi aman membantah ikon LGBT di sebuah festival fesyen dan kecantikan yang diadakan di Pusat Konvensyen Amanjaya di sini hari ini.
Menurut beliau, sekiranya penganjur mahu mempromosikan sebarang acara atau festival, mereka perlulah menggunakan ikon yang tepat sama ada artis lelaki atau wanita dan bukannya golongan LGBT yang perilaku mereka sememangnya tidak diterima masyarakat.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi di negeri ini.
“Harapan saya lain kali janganlah buat promosi macam ini. Jika mahu berniaga, guna model lain dan bukannya golongan LBGT ini. Kita menolak ikon ini kerana tidak mahu generasi akan datang terpengaruh dan merosakkan mereka.
“Kerajaan negeri terutama exco agama perlu tegas, pastikan kejadian sama yang menggunakan golongan tersebut sebagai ikon tidak berlaku lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











