MUAR 29 Sept. – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencari penaja baharu bagi membiayai kos operasi dan perjalanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang diperkenalkan pada 2014.
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan menerusi kementeriannya tidak boleh menanggung sepenuhnya perbelanjaan NFDP seperti dilakukan ketika ini berikutan kedudukan kewangan yang kurang baik.
“Kita perlu mencari dana tambahan untuk meneruskan program NFDP kerana program itu baik tetapi masalah dahulu ialah mereka dijanjikan dana sehingga RM20 juta setahun namun ia tidak berlaku.
“Kerajaan tidak boleh menanggung sepenuhnya kerana peruntukan besar itu akan menjejaskan sukan-sukan lain yang berada di bawah Majlis Sukan Negara (MSN). Saya juga ada berjumpa beberapa penaja berpotensi tapi mereka beritahu kalau boleh setiap sen yang dilaburkan biarlah memberi impak besar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar di Jalan Abdul Rahman, di sini sebentar tadi. -UTUSAN ONLINE











